KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan dukacita atas pemergian Jaden Samuel Desen, bayi pertama yang dilahirkan menerusi inisiatif Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), pada usia 20 tahun semalam.
Menurut hantaran Facebook Kesultanan Pahang, Jaden yang dilahirkan melalui rawatan persenyawaan in vitro (IVF) pada 19 Jun 2006 merupakan ‘cucu pertama’ baginda yang mendapat tempat istimewa dalam sejarah TAFF seperti dilapor Bernama.
Ibu bapa Jaden, Jeremiah Vennga dan Phebe Shanty, menanti selama 17 tahun sebelum dikurniakan cahaya mata melalui rawatan IVF bersama TAFF.
Pemergian Jaden pada usia muda amat dirasai baginda yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya serta mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan itu.
Menurut hantaran berkenaan, pemergian Jaden bukan sahaja kehilangan besar buat keluarganya, malah turut dirasai warga TAFF yang menganggap anak kelahiran menerusi ikhtiar yayasan itu sebagai sebahagian daripada keluarga besar TAFF.






