ARTIKEL

Bayu Somerset lebar sayap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Sebelum namanya terpampang di ruang butik dengan deretan busana berwarna-warni yang menjadi pilihan pelanggan, Bayu Somer-set hanyalah satu jenama kecil yang berkembang menerusi skrin telefon.

Ketika negara berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 pada 2021, impian sederhana mula dibina untuk menghasilkan pakaian yang bukan sahaja menampilkan keindahan warisan budaya Malaysia, malah turut memberikan nafas baharu kepada wanita moden.

Daripada platform dalam talian yang bermula dengan penuh keterbatasan, Bayu Somerset kini melangkah lebih jauh selepas lima tahun apabila berjaya membina komuniti yang merangkumi lebih 500,000 pelanggan di seluruh negara.

Kini, jenama fesyen tempatan itu membuka lembaran baharu menerusi pembukaan cawangan fizikal pertamanya di Malaysia Timur yang terletak di pusat beli-belah Vivacity, Kuching.

Namun, bagi pasukan Bayu Somerset, pembukaan butik berkeluasan 1,474 kaki persegi itu bukan sekadar penambahan cawangan ke-18.

Sebaliknya, ia menjadi simbol perjalanan panjang yang dibina atas kesabaran, keyakinan dan sokongan pelanggan yang sentiasa mempercayai jenama tersebut.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, kehadiran Bayu Somerset di Sarawak membawa makna yang besar kerana membuktikan impian yang bermula secara kecil-kecilan mampu berkembang apabila mendapat sokongan masyarakat.

Menurutnya, ketika jenama itu diperkenalkan lima tahun lalu, fokus utama mereka hanyalah untuk membina jenama tempatan yang menghargai warisan budaya Malaysia sambil memenuhi keperluan wanita masa kini.

“Sewaktu kami bermula, kami hanya mempunyai satu impian. Kami mahu menghasilkan pakaian yang bukan sahaja cantik dipakai, malah turut membawa identiti budaya negara.

“Hari ini, melihat jenama ini berkembang daripada platform dalam talian kepada rangkaian butik yang dipercayai oleh ratusan ribu pelanggan di seluruh negara benar-benar memberikan rasa syukur yang tidak ternilai,” katanya.

Di sebalik pembukaan butik pertama di Sarawak, tersimpan kisah sokongan pelanggan yang menjadi antara faktor utama mendorong langkah tersebut.

Dania berkata, sepanjang beberapa tahun, mereka sering menerima pertanyaan daripada pelanggan di Sarawak yang ingin mengetahui bila Bayu Somerset akan membuka butik di negeri ini.

Katanya, pertanyaan yang pada awalnya diterima menerusi komen di media sosial, mesej peribadi dan e-mel akhirnya menjadi dorongan untuk membawa jenama itu lebih dekat dengan pelanggan di Borneo.

“Kami sering menerima pertanyaan daripada pelanggan di Sarawak. Mereka sentiasa bertanya bila Bayu Somerset akan membuka butik di Kuching.

“Hari ini, kami amat bersyukur kerana akhirnya dapat memenuhi harapan mereka. Ia bukan sekadar pembukaan butik, malah menjadi permulaan kepada hubungan yang lebih erat dengan masyarakat Sarawak,” kongsinya.

Bagi Dania, kekuatan Bayu Somerset bukan sahaja terletak pada pakaian yang dihasilkan, malah turut terserlah melalui cerita dan nilai yang dibawa dalam setiap koleksi menerusi konsep Fesyen Melangkaui Zaman.

Katanya, setiap rekaan mendapat inspirasi daripada warisan busana klasik Malaysia seperti baju kurung Kedah, baju kebaya dan baju kurung kebarung sebelum diberikan sentuhan moden melalui penggunaan warna, potongan serta elemen kreatif yang lebih segar.

“Setiap helaian pakaian dihasilkan dengan mengekalkan dan menghormati warisan siluet klasik Malaysia.

“Walaupun diberikan nafas baharu, kami masih mengekalkan identiti tersebut menerusi penggunaan warna yang segar, potongan moden dan sentuhan kreatif yang lebih kontemporari.

“Malah, setiap koleksi yang kami hasilkan mempunyai jalan cerita tersendiri,” tambahnya.

Menurut beliau, Bayu Somerset melihat dirinya bukan sekadar sebagai jenama fesyen, tetapi juga sebagai jenama seni yang sentiasa meneroka idea baharu dalam penghasilan setiap koleksi.

“Sebagai contoh, koleksi Strawberry Matcha dibangunkan berdasarkan tema khusus sebelum diterjemahkan menerusi pemilihan warna, corak dan potongan yang membentuk identitinya tersendiri.

“Malah, pelanggan yang mengunjungi butik Bayu Somerset di Kuching kini boleh memilih lebih daripada 190 rekaan daripada lebih 10 kategori produk, termasuk pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, selain selendang, aksesori serta barangan eksklusif yang menampilkan maskot ceria mereka, Molly,” jelasnya.

Namun, langkah ke Sarawak bukan sekadar berkaitan pengembangan perniagaan, sebaliknya turut membuka peluang kepada Bayu Somerset untuk memahami budaya dan identiti masyarakat tempatan dengan lebih dekat.

Dania berkata, pihaknya mahu mengambil masa untuk mengenali keunikan Sarawak terlebih dahulu sebelum menghasilkan koleksi yang benar-benar mendapat inspirasi daripada negeri ini.

“Setiap perjalanan sentiasa bermula dengan proses memahami dan menghargai sesuatu tempat terlebih dahulu.

“Kami baru sahaja memasuki pasaran Malaysia Timur. Kami mahu belajar daripada masyarakat di sini terlebih dahulu.

“Daripada pengalaman itu, kami percaya akan lahir inspirasi untuk menghasilkan koleksi yang menggabungkan elemen tempatan dalam rekaan Bayu Somerset,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Komersial dan Runcit Bayu Somerset, Aliesha Nadira berkata, pembukaan cawangan di Kuching merupakan sebahagian daripada perancangan syarikat untuk memastikan jenama itu hadir di setiap negeri di Malaysia.

Menurutnya, Sabah akan menjadi destinasi seterusnya menerusi pembukaan cawangan baharu yang dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

“Kami sudah merancang pembukaan cawangan seterusnya di Sabah yang dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini.

“Kami sentiasa mencari lokasi baharu dan menjalankan tinjauan tapak. Kami melihat potensi yang besar di sini, jadi nantikan perkembangan seterusnya,” katanya.

Dikenali menerusi pendekatan yang berwarna-warni dan artistik dalam penghasilan busana tradisional, Aliesha berkata, Bayu Somerset akan terus mengekalkan identiti tersebut meskipun berkembang ke pasaran baharu.

Menurutnya, warna terang dan ceria menjadi antara elemen utama dalam rekaan mereka kerana melambangkan keyakinan serta perwatakan pemakai.

“Kami biasanya tidak memilih warna pastel. Kami lebih menggemari warna yang terang dan ceria kerana mahu setiap individu berasa lebih yakin apabila mengenakan pakaian kami,” kongsinya lagi.

Seiring dengan kemasukannya ke pasaran Malaysia Timur, Bayu Somerset turut mempertimbangkan untuk menghasilkan koleksi eksklusif yang mendapat inspirasi daripada budaya dan identiti Sarawak.

Selain menekankan aspek kreativiti, jenama itu turut memberi perhatian kepada keterangkuman dengan menawarkan saiz pakaian daripada XXS hingga 5XL supaya lebih ramai pelanggan dapat menikmati koleksi mereka.

“Kami percaya akan pentingnya keterangkuman dan kepelbagaian supaya semua orang, tanpa mengira bentuk atau saiz badan, dapat mengenakan pakaian kami dengan yakin,” tambahnya.

Di sebalik kejayaan Bayu Somerset hari ini, tersimpan kisah keberanian pengasasnya yang juga Ketua Pegawai Kreatif, Siti Nurdiana Kamalul.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu bersama-sama suaminya, Emir Fauzi Mohamad Fauzi, yang juga ketua pegawai eksekutif, memulakan perniagaan tersebut pada Julai 2021 dengan modal hanya RM10,000.

Tanpa pengetahuan dan pengalaman dalam bidang jahitan, pasangan itu tetap berani mengambil langkah untuk membina jenama fesyen tempatan yang mengetengahkan nilai warisan Malaysia menerusi rekaan moden.

Lima tahun kemudian, impian yang bermula daripada ruang digital itu kini berkembang menjadi rangkaian butik yang semakin dikenali.

Perkembangan tersebut membuktikan bahawa keberanian mencuba dan kepercayaan pelanggan mampu mengubah impian kecil menjadi perjalanan yang luar biasa.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU