ARTIKEL

Bazar Krismas Plaza Merdeka Diserbu Ribuan Pengunjung Saat Akhir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Suasana meriah dengan kehadiran pengunjung di Bazar Krismas Plaza Merdeka 2025 hari ini menggambarkan bahang sambutan kian terasa apabila orang ramai mengambil peluang melakukan pembelian saat akhir bagi melengkapkan persiapan perayaan itu.

Tinjauan Suara Sarawak di pusat beli-belah Plaza Merdeka di sini sekitar jam 10.15 pagi mendapati reruai jualan yang menawarkan pelbagai keperluan dan juadah perayaan mula dipenuhi pengunjung.

Pekerja Sweet Treats, Nursafwanah Malaya berkata jualan biskut dan kuih kering mencatatkan sambutan amat menggalakkan menjelang minggu terakhir menjelang Krismas.

Nursafwanah menyusun balang biskut yang ditawarkan di reruai Sweet Treats.

Beliau menjelaskan, pembelian saat akhir memberikan impak besar kepada jualan sehingga pihaknya berjaya menjual lebih 150 balang biskut pelbagai perisa serta kuih kering seperti rempeyek dan kekacang dalam tempoh sehari.

“Bermula Jumaat minggu lalu (19 Disember) hingga semalam, jualan kami mendapat sambutan luar biasa apabila ramai pelanggan datang mendapatkan biskut serta kuih kering.

“Dalam sehari sahaja kami dapat menjual lebih 150 balang biskut pelbagai perisa dan saiz serta kuih kering seperti rempeyek dan kekacang. Malah hari ini masih ramai yang datang membeli juadah perayaan dan kami melihat lonjakan ketara dalam pembelian saat akhir,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, jumlah pengunjung biasanya meningkat pada waktu rehat tengah hari sekitar jam 12 tengah hari serta pada sebelah petang hingga malam iaitu antara jam 5 petang hingga 10 malam.

“Itu waktu kemuncak apabila pengunjung datang silih berganti untuk membeli keperluan.

“Kami menjangkakan esok masih ada pelanggan yang datang mungkin untuk persiapan rumah terbuka atau sebagai hadiah kepada rakan-rakan,” ujarnya sambil memaklumkan biskut mentega, Biscoff, makmur dan Nestum antara pilihan utama pelanggan.

Dalam pada itu, pekerja Kedey Pak Lee, Siti NurSaffiyah Haris Shaiffuddin berkata mereka membuka reruai bersempena dengan Krismas bermula 12 Disember hingga 4 Januari depan.

“Kita lihat hari ini (24 Disember) masih ramai pelanggan yang datang untuk membeli pelbagai jenis kudapan kering sebagai hidangan sempena perayaan Krismas atau diberikan kepada keluarga.

“Biasanya produk paling mendapat sambutan adalah mangga, strawberi, yogurt dan bendi kering. Jualan ini sangat laris,” jelasnya yang mengakui jualan harian melonjak ketika pelanggan membuat pembelian saat akhir.

Sementara itu, seorang pengunjung, Paul Unga berkata beliau dan keluarga biasanya membeli barangan keperluan basah sehari sebelum sambutan Krismas.

“Boleh dikatakan ia pembelian saat akhir kami terutamanya bagi barangan basah. Hari ini saya datang sambil bersantai mencari keperluan lain kerana persiapan utama sudah dibuat lebih awal.

“Selain itu, saya ke sini untuk membawa anak saudara dari Jakarta membeli-belah memandangkan dia pulang ke kampung untuk menyambut Krismas bersama-sama ibu bapanya,” kata Paul.

Beliau menambah, sambutan Krismas tahun ini diraikan secara sederhana memandangkan anak perempuannya yang berada di United Kingdom tidak pulang ke tanah air.

“Anak perempuan saya berada di United Kingdom dan tidak pulang tahun ini kerana sudah menyambut Krismas di sini pada tahun lepas. Jadi kami buat persiapan sederhana sahaja,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU