BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) merancang memperluas model pengurusan sisa komuniti ke beberapa kawasan yang lain di bandar ini susulan pelancaran Fasiliti SisaSMART@Bintulu (BDA-PPWS), yang dilihat sebagai pemangkin kepada usaha membudayakan ekonomi kitaran dan mengurangkan pembaziran makanan.
Pengurus Besar BDA, Datuk Muhamad Yakup Kari berkata, kejayaan penubuhan fasiliti berkenaan mendorong pihaknya untuk meneruskan inisiatif yang sama bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat akses kepada kemudahan pengurusan sisa sistematik dan mesra komuniti.

Menurut beliau, BDA kini merancang mewujudkan sebuah lagi pusat pengurusan sisa komuniti di kawasan Medan Jaya Commercial Centre dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan pengurusan sisa mampan di Bintulu.
Katanya, fasiliti yang dibangunkan di bawah program ‘Ke Arah Sifar Pembaziran Makanan di Bintulu’ itu mungkin sederhana dari segi saiz fizikal, namun mempunyai nilai dan impak besar dalam menyokong pengurusan sisa yang lebih lestari serta membudayakan amalan ekonomi kitaran dalam kalangan masyarakat.
“Tanpa pengurusan yang berkesan, sebahagian besar sisa ini akan berakhir di tapak pelupusan, sekali gus meningkatkan tekanan alam sekitar serta kos pengurusan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Fasiliti SisaSMART@Bintulu (BDA-PPWS): Transformasi Pengurusan Sisa Lestari di premis Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu- Tatau pada Selasa.
Menurutnya, SisaSMART@Bintulu bukan sekadar pusat pemprosesan sisa, malah berfungsi sebagai pusat pendidikan komuniti, ruang demonstrasi teknologi, platform latihan dan medium perkongsian ilmu berkaitan amalan pengurangan sisa, pengkomposan, kitar semula serta pemulihan sumber.
Beliau berkata, kejayaan projek ini membuktikan agenda kelestarian boleh dicapai melalui kerjasama erat agensi pembangunan, institusi pendidikan dan organisasi komuniti, selain memastikan manfaat program dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.




