USAHA melahirkan tenaga kerja yang proaktif, berkemahiran dan komprehensif memerlukan penggemblengan tenaga serta kerjasama daripada pelbagai pihak.
Seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti yang mampu memenuhi keperluan industri, Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR) mengalu-alukan kerjasama strategik melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), universiti, jabatan kerajaan serta agensi berkaitan.
Melalui kerjasama ini, pelajar dan mahasiswa daripada institusi terbabit berpeluang menjalani latihan industri di BEFR, pusat penternakan ikan empurau yang turut menggabungkan konsep agropelancongan dan ekopelancongan.
Menurut Pengarah BEFR, Abdullah Zawawi, pihaknya komited untuk menyokong visi dan misi Kerajaan Sarawak dalam melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia memasuki alam pekerjaan.
“Pendekatan kami sangat mudah. Kami mengalualukan semua institusi untuk menjalinkan kerjasama melalui MoU bagi membolehkan pelajar mereka menjalani latihan industri di BEFR dalam tempoh tertentu.
“Pengalaman ini memberikan pendedahan sebenar kepada pelajar, sekali gus memudahkan mereka menyesuaikan diri apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.
Katanya, BEFR menawarkan pelbagai bidang latihan yang sesuai dengan keperluan industri, termasuk pertanian moden, penternakan ikan, penternakan haiwan, pelancongan, teknologi maklumat (IT), pengurusan pejabat serta operasi tempat peranginan.
Menurutnya, pendekatan tersebut membuahkan hasil apabila ramai bekas pelatih kini berjaya memperoleh pekerjaan, termasuk di BEFR sendiri. “Dengan adanya MoU, lebih mudah bagi kami menerima pelajar sebagai pelatih.
“Mereka ditempatkan di pelbagai bahagian mengikut bidang pengajian masing-masing, seperti tanaman sayur-sayuran, penternakan ikan, penternakan haiwan, teknologi maklumat, pengurusan pejabat dan pelancongan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata pengalaman latihan industri bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar, malah membentuk keyakinan diri serta daya saing mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
Setiap tahun, BEFR menerima sekurang-kurangnya 10 pelatih daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh Sarawak.
“Kami menerima banyak permohonan daripada IPTA dan IPTS di seluruh Sarawak. “Namun, keutamaan diberikan kepada pelajar yang mengikuti kursus berkaitan, seperti pertanian, pelancongan, akuakultur, teknologi maklumat dan bidang lain yang bersesuaian dengan operasi BEFR,” katanya.
Sehingga kini, BEFR menjalinkan MoU dengan beberapa institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti HELP, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Kolej Universiti i-CATS (i-CATS) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Sementara itu, Abdullah turut menggalakkan lebih banyak institusi pengajian tinggi, termasuk universiti di bawah Kerajaan Sarawak, menjalinkan kerjasama strategik dengan BEFR.
“Buat masa ini, kami hanya dapat menerima pelatih daripada institusi yang mempunyai MoU dengan BEFR.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan proses latihan industri dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya. Pengalaman pelatih Bekas pelatih BEFR, Michelle Pearl Andrew, 23, menyifatkan pengalaman menjalani latihan industri di BEFR sebagai titik permulaan mempersiapkan dirinya untuk menghadapi alam pekerjaan.
“Pengalaman di BEFR banyak mematangkan saya dan memberikan keyakinan untuk melangkah ke dunia pekerjaan sebenar,” katanya.
Seorang lagi bekas pelatih, Anderson Wise William, 21, berkata latihan di BEFR membuka peluang kepadanya untuk mempelajari pelbagai bidang di luar bidang pengajiannya.
“Saya bukan sahaja mempelajari bidang pertanian dan perikanan, malah turut memperoleh pengalaman dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.
Bagi Desmond Ng Sheng Hou, 20, latihan di BEFR memberikan pengalaman kerja yang lebih menyeluruh.
“Walaupun saya ditempatkan dalam bidang IT, saya turut didedahkan kepada pelbagai aspek operasi lain di BEFR,” katanya.
Sementara itu, Jenniker Winna Juntan, yang kini bertugas sebagai kakitangan BEFR selepas memulakan kerjayanya sebagai pelatih, berkata program latihan industri memberikan kelebihan yang besar kepada lepasan.
“Pelajar yang pernah menjalani latihan industri lebih bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan kerana mereka telah memperoleh pengalaman sebenar. “Berbanding dengan pekerja baharu yang tidak mempunyai pengalaman, mereka lebih mudah menyesuaikan diri dan memerlukan tempoh orientasi yang lebih singkat,” katanya.
Selain itu, pandangan tersebut turut dikongsi oleh Sonia Samban Betty, 28, yang menyifatkan pengalaman menjalani latihan industri sebagai satu kelebihan dalam membina kerjaya.
Menurut pelajar Politeknik Metro Betong dalam bidang pengurusan pelancongan, Faneeza Maisa Elegin, 21, latihan industri di BEFR memberikannya pengalaman baharu yang amat bernilai.
Turut berkongsi pengalaman positif ialah Hillary Yunnus Abdullah, Evester Evis Stephen dan Gloria Avila Kustin, yang berpendapat latihan industri di BEFR membantu meningkatkan kemahiran, keyakinan serta kesiapsiagaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan.
Komited bentuk bakat masa depan Melalui kerjasama strategik dengan institusi pendidikan, BEFR terus komited menjadi platform pembangunan modal insan yang berkualiti.
Program latihan industri yang dilaksanakan bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelajar, malah turut membantu melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan industri, sejajar dengan agenda pembangunan Sarawak.



