KUCHING: Sekilas pandang, beg baharu dan potongan rambut kemas nampak sederhana, namun bagi anak-anak asnaf, ia menjadi momen istimewa yang menyuntik keceriaan dan semangat sebelum sesi persekolahan bermula.
Program Kembali ke Sekolah dan Jelajah YKABARBER (Servis Menggunting Rambut) anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Al-Bait, menyampaikan agihan berupa beg dan kelengkapan sekolah kepada 128 anak asnaf di Kuching.


Secara keseluruhan, seramai 2,126 penerima di seluruh Sarawak menerima bantuan tersebut bagi meringankan beban sebagai persiapan sesi persekolahan 2026.
Sehubungan itu, Suara Sarawak berkesempatan menemu bual beberapa pelajar dan ibu bapa bagi mendapatkan pandangan mereka tentang bantuan yang diterima melalui program ini.
Qaseh Ramadhani Abu Bakar, 15.
Saya berasa sangat gembira kerana dapat kembali ke sekolah tidak lama lagi, selepas lama bercuti. Saya tidak sabar untuk bertemu rakan dan guru, selain bersemangat untuk belajar subjek kegemaran saya iaitu Sains, Sejarah dan Matematik. Bantuan yang diterima sangat bermanfaat. Saya berharap tahun ini dapat belajar lebih rajin dan memperoleh keputusan cemerlang.
Qayyum Zamzami Abu Bakar, 16.
Saya bersyukur kerana menerima bantuan ini, terutama botol minuman dan bekas makanan yang amat berguna untuk dibawa ke sekolah. Semangat saya terus bertambah kerana pesanan bapa agar belajar bersungguh-sungguh demi menggapai cita-cita.
Nur Emmysha Chik, 41.
Saya mempunyai lima orang anak, tetapi hanya dua yang masih bersekolah. Sebagai ibu, saya gembira kerana bantuan ini dapat meringankan kos perbelanjaan sekolah. Saya juga menggunakan semula pakaian sekolah yang masih elok dan hanya membeli seluar sukan baharu. Anak-anak kini sangat teruja untuk kembali ke sekolah dan saya berharap mereka belajar dengan tekun serta patuh arahan guru.

Juffariny Suhaimi, 38.
Bantuan ini sangat bermakna untuk lima anak saya, lebih-lebih lagi sebagai ibu tunggal. Saya juga mengambil peluang ini untuk membawa mereka berjalan-jalan sebelum sesi persekolahan agar mereka bersemangat. Walaupun rumah kami dilanda banjir semalam, ia tidak mematahkan semangat saya untuk menyiapkan kelengkapan sekolah.




