ARTIKEL

Bekalan air luar bandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi ada memaklumkan, liputan bekalan air bersih di Sarawak masih berlegar sekitar 71 peratus di luar bandar.

Maknanya, masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Namun, saya percaya akan ada usaha serta perancangan kerajaan dalam hal ini.

Pastinya mengambil masa tetapi untuk kesan jangka panjang.

Saya ambil contoh, kawasan kampung saya dulu… ada air, tetapi tidak naik ke rumah.

Kadangkala hanya angin yang keluar dari pili.

Bukan boleh buat mandi, cuci baju atau urusan harian. Maka, ramai yang marah.

Jadi, penduduk terpaksa berangkut air menggunakan baldi.

Namun, manusia semakin moden dan apabila ada belanja sedikit, mereka pasang pam air untuk memastikan air naik ke rumah. Itu juga kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada.

Ketika itu saya berada dalam satu jabatan kerajaan yang menguruskan bekalan air bersih (dahulu Jabatan Kerja Raya), sedikit banyak saya tahu akar punca.

Masalahnya sama seperti yang dihadapi kebanyakan kawasan ketika ini — saluran paip lama dan tiada air yang mencukupi untuk disalurkan.

Bayangkan, loji rawatan air yang digunakan, kapasitinya sama ketika 10 atau 20 tahun lalu.

Sedangkan, kampung terus tumbuh dan membangun.

Jadi, selepas beberapa ketika, langkah penyelesaian diambil dengan menggantikan saluran paip baharu, ada sokongan dari loji rawatan air lain… saya boleh katakan isu bekalan air bersih di kampung saya selesai.

Untuk senang faham, selesai dalam konteks kami tidak lagi menggunakan pam air.

Kalau air kotor sekali-sekala atau ada gangguan disebabkan kebocoran itu biasa, tetapi tidak seteruk dahulu.

Sebab itu, saya kata, saya percaya akan usaha serta perancangan kerajaan dalam menangani isu ini dalam jangka masa panjang.

Ia bukan projek yang boleh disiapkan dalam satu malam.

Sebaliknya mengambil masa banyak hari dan kos berbilionbilion ringgit.

Namun, kita patut bersyukur kerana Kerajaan Sarawak telah mengusahakan strateginya sejak beberapa tahun kebelakangan.

Sekarang, bersabarlah dahulu. Sementara menunggu pelan utama siap, kerajaan juga ada inisiatif jangka pendek.

Tidaklah dibiarkan rakyat tiada air berlarutan.

Cerita utamanya kini Sistem Grid Air Sarawak.

Sistem grid air ini merupakan inisiatif komprehensif oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bagi meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan bekalan air bersih di seluruh negeri, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tujuannya adalah untuk menghubungkan sumber bekalan air antara bahagian.

Ia akan mewujudkan jaringan pengagihan air yang saling berhubung untuk memastikan bekalan air yang stabil dan berkualiti di seluruh negeri.

Contohnya, apabila Bahagian Betong mengalami gangguan bekalan air bersih, Bahagian Sri Aman dan Sarikei sebagai jiran boleh menyokong.

Begitu juga sebaliknya.

Selain itu, Kerajaan Sarawak ingin meningkatkan liputan bekalan air bersih.

Kalau tadi Julaihi kata liputan sekitar 71 peratus di luar bandar, insya-Allah beberapa tahun akan datang akan lebih baik.

Tetapi fokus utama meningkatkan liputan bekalan air bersih kepada 100 peratus menjelang 2030, dengan tumpuan khusus kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, sistem grid juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada loji kecil.

Kita akan bersandarkan kepada loji utama dan stesen penggalak yang lebih cekap.

Sehingga November 2024, sebanyak 269 daripada 304 projek di bawah program grid air telah siap dilaksanakan.

Ia termasuk menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang, meningkatkan kapasiti pengeluaran air daripada 764 juta liter sehari kepada 868 juta liter sehari.

Ada juga pembinaan loji baharu di Trusan, Lawas. Loji rawatan air baharu ini berkapasiti 20 juta liter sehari bagi menyokong kawasan sekitar.

Pemasangan paip dan stesen penggalak melibatkan kawasan dari Kota Samarahan ke Sebuyau, termasuk Tambirat, Moyan, Asajaya, Semera, Sadong Jaya, Sungai Buloh, Sungai Ladong, Sebangan dan Tebelu.

Selain itu, sebanyak 20 loji rawatan air baharu dirancang untuk dibina menjelang 2030 bagi menampung peningkatan permintaan air yang dijangka mencapai 2,400 juta liter sehari.

Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana yang sangat besar untuk projek bekalan air luar bandar menjelang 2030.

Ini termasuk penggantian dan naik taraf paip lama sepanjang 2,740 kilometer untuk meningkatkan kecekapan sistem pengagihan air.

Dan melaksanakan 407 projek air, iaitu terbahagi kepada 289 projek telah siap, 79 dalam pelaksanaan, dan selebihnya dalam peringkat perancangan.

Dalam masa sama, Sarawak juga sedang menuju ke arah pendigitalan sistem bekalan air dengan usaha mewujudkan loji rawatan air automatik sepenuhnya.

Ia menggunakan teknologi automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi loji rawatan air.

Antara lain pemetaan utiliti 3D, yakni meneroka penggunaan pemetaan utiliti tiga dimensi untuk perancangan dan pengurusan infrastruktur air yang lebih baik.

Secara keseluruhan, perancangannya cukup teratur dan inklusif meliputi semua elemen yang diperlukan.

Ia termasuk kawasan yang terpencil yang ada sistem sendiri.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) selain memainkan peranan penting dalam menyambung kawasan luar bandar ke grid utama, mereka juga melaksanakan program alternatif seperti Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) untuk kawasan terpencil.

Berdoalah agar apa-apa yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan berjalan lancar.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri menekankan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk mencapai liputan penuh bekalan air menjelang 2030.

Ia katanya, melalui peruntukan sebanyak RM6 bilion untuk melaksanakan projek bekalan air di kawasan luar bandar.

Selain, penggantian paip lama yang dianggarkan menelan belanja RM1.1 bilion.

“Selagi saya memimpin Kerajaan GPS, saya akan terus mencari jalan untuk mendapatkan sumber bagi tujuan tersebut, demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU