KUCHING: Bekalan air mentah di Empangan Bengoh bagi operasi rawatan air pada masa ini masih mencukupi dan operasi bekalan air diteruskan seperti biasa walaupun terdapat penyusutan paras air.
Sarawak Water berkata situasi semasa di empangan tersebut adalah dalam keadaan terkawal dan terus dipantau oleh pasukan teknikal.
“Sarawak Water akan terus memantau paras empangan, keadaan cuaca serta keperluan bekalan bagi memastikan langkah-langkah pengurusan yang bersesuaian dapat dilaksanakan lebih awal sekiranya keadaan berubah.
“Orang ramai digalakkan untuk terus menggunakan air secara berhemah dan dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi Sarawak Water bagi mendapat maklumat terkini yang sahih,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Sarawak Water akan terus memberikan perkembangan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perubahan yang memerlukan perhatian orang ramai.
Setakat ini, keadaan terkawal dan bekalan air mentah bagi operasi loji rawatan air masih mencukupi.



