SIMUNJAN: Bekalan air ke Simunjan dijangka kembali disalurkan secara berterusan selepas kerja pembaikan paip bocor di Jalan Gedong–Simunjan dijangka siap lewat petang ini (1 Ogos), sekali gus membolehkan bekalan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Serian disalurkan semula ke kawasan terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, LRA Simunjan tidak dapat beroperasi sepenuhnya bermula 28 Julai lalu kerana paras air di muka sauk berada pada tahap kritikal.
Susulan itu, katanya, bekalan air ke Simunjan ketika ini bergantung sepenuhnya kepada LRA Serian yang disalurkan melalui paip di Pam Penggalak Gedong.
“Bagaimanapun, pada 31 Julai lalu, telah berlaku kebocoran paip di Jalan Gedong–Simunjan yang berpunca daripada kerja-kerja pengorekan dan pembersihan parit oleh pihak kontraktor.
“Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan dan dijangka siap lewat petang ini (1 Ogos). Setelah kerja pembaikan selesai, bekalan air dari LRA Serian akan dapat disalurkan semula secara berterusan ke kawasan Simunjan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata permintaan terhadap penghantaran air menggunakan tangki air ketika ini amat tinggi di kawasan Simunjan dan pihak berkenaan sedang berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan tersebut.
“Selain itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Samarahan juga telah mengambil inisiatif dengan meminjam tong air daripada JBALB Kuching. Setakat ini, sebanyak 16 tong air telah dipinjam untuk kegunaan di Simunjan bagi membantu penduduk yang terjejas.
“Bagi kawasan yang masih terjejas, penghantaran bekalan air sedang giat dijalankan. Selain itu, JBALB Samarahan juga sedang dalam proses menyediakan tangki air berpusat di beberapa lokasi strategik yang telah dikenal pasti bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air,” ujarnya.
Beliau menegaskan JBALB komited untuk menangani masalah itu sebaik mungkin dan memastikan bekalan air kembali stabil.
“Oleh itu, kerjasama dan kesabaran semua penduduk amat dihargai,” jelasnya.






