Bekalan dan harga bawang stabil

KUCHING: Bekalan dan harga bawang di pasaran kembali stabil untuk keperluan pengguna di Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bekalan bawang di negara dijangka mencukupi sehingga Ogos tahun ini.
Jelas Nanta, negara pengimport utama iaitu India telah pulih daripada masalah banjir dan telah mula mengeksport bekalan bawang ke bagi memenuhi permintaan khususnya di Malaysia.
“Sebelum ini, Malaysia terkesan dengan kemasukan bawang dari negara pengimport kerana terdapat arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang.
“Langkah ini bertujuan untuk menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir yang berlaku sejak bulan Julai 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Menurut Nanta, sepanjang tahun lalu, Malaysia telah mengimport sebanyak 489,297 metrik tan bawang dari luar negara.
Beliau memberitahu, bekalan bawang di Malaysia diimport dari 24 buah negara di mana lima negara merupakan pengeksport terbesar iaitu (31 peratus), Pakistan (24 peratus), China (22 peratus), Belanda (10 peratus), Thailand (6 peratus),
New Zealand (3 peratus) dan lain-lain (4 peratus).
Daripada jumlah tersebut, jelasnya, India merekodkan jumlah pengeksport bawang terbesar iaitu sebanyak 152,519 metrik tan,” jelasnya.
Katanya lagi, Malaysia turut mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai salah satu strategi yang berkesan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tidak bergantung kepada sesebuah negara luar sahaja.
Pada Isnin, Nanta mengadakan lawatan dan pemeriksaan pada sebuah premis perniaagan di Klang, Selangor yang berperanan sebagai sebagai pengimport dan pemborong.
Lawatan ini bertujuan untuk memastikan keberadaan bekalan bawang mencukupi untuk menampung permintaan pengguna dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2021.
Nanta berkata kementeriannya mengambil maklum berkenaan rungutan sebilangan pengguna berkenaan isu bekalan dan harga bawang sebelum ini.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak untuk memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah berlaku dalam pasaran termasuk bekalan bawang.
“Justeru itu, KPDNHEP konsisten bertindak menjalankan pemeriksaan bagi
barangan keperluan asas dalam tempoh PKP secara harian,” ujarnya.

Suara Sarawak