ARTIKEL

Bekalan elektrik terputus gara-gara ular sawa ceroboh suis pencawang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Gara-gara kehadiran seekor ular sawa sepanjang tujuh kaki yang didapati menceroboh suis di Pencawang Oya 275kV di sini telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik melibatkan beberapa kawasan di Sibu pada awal pagi semalam (Ahad).

Sarawak Energy, dalam satu kenyataannya hari ini, berkata gangguan bekalan elektrik yang tidak dijangkakan berlaku itu telah menjejaskan kawasan Oya, Salim dan Deshon sekitar jam 2.21 pagi.

Ia berkata, pasukan teknikal bahagian operasi Syarikat SESCO Bhd (SESCO) telah mengeluarkan bangkai ular itu seterusnya menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan keselamatan.

“Pihak kami kemudian telah berjaya memulihkan bekalan elektrik kepada pelanggan yang terjejas, pada jam 4.43 pagi tanpa sebarang insiden lanjut,” ujarnya.

Rentetan itu, Pengurus Kanan Pencawang Transmisi Sarawak Energy, Sia Chiu Tiing, mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kesabaran dan pemahaman mereka semasa kejadian itu.

“Setelah menerima laporan tentang masalah gangguan itu, kami segera menghantar pasukan teknikal kami ke tapak untuk menyiasat dan memulakan kerja pemulihan bekalan.

“Memandangkan sifat voltan tinggi di kawasan itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga yang menyeluruh bagi memastikan keselamatan dan mencegah kerosakan peralatan,” kata Sia.

Menurut kenyataan itu lagi, Sarawak Energy sedang giat meneroka penyelesaian untuk mengurangkan kejadian seperti itu, termasuk memasang penghalang anti-haiwan dan melakukan rondaan berkala di kawasan yang mempunyai kehadiran hidupan liar yang tinggi.

SESCO kekal komited untuk mengekalkan keadaan infrastruktur dan peralatan elektriknya, dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual tepat pada masanya bagi memastikan bekalan elektrik yang berterusan dan boleh dipercayai pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

“Bagaimanapun, bagi memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai di seluruh negeri, cabarannya tetap ada, kerana talian kuasa penghantaran dan penyambungannya di Sarawak berjalan jauh di sepanjang atau melalui hutan dan ladang. Ini telah membawa cabaran unik disebabkan oleh hidupan liar,” tambah kenyataan itu.

Untuk sebarang pertanyaan atau ada melihat hidupan liar di kawasan kemudahan Sarawak Energy, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24/7 di 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com atau memaklumkan kepada ejen maya Carina.

Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi pembekal utiliti melalui aplikasi mudah alih Sarawak Energy, SEB Cares, yang boleh dimuat turun melalui Gedung Google Play dan Apple App Store.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU