ANKARA: Sinan Ogan, bekas calon Perikatan ATA dalam pilihan raya presiden Turkiye, dijangka mengumumkan pada Isnin sokongannya kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam pusingan penentuan minggu depan, lapor Sputnik.
Pada pusingan pertama pilihan raya, Erdogan menerima 49.52 peratus undi, manakala pencabar utamanya Kemal Kilicdaroglu mendapat 44.88 peratus.
Ogan berada di tempat ketiga dengan lebih 5 peratus undi, menjadikannya bakal berperanan sebagai king maker atau penentu keputusan dalam pusingan kedua yang dijadualkan pada 28 Mei.
Maklumat diperoleh akhbar Hurriyet yang memetik sumber menunjukkan Ogan akan mengumumkan keputusannya pada hari sama.
Beliau juga akan menunjukkan bahawa Kilicdaroglu “menyokong organisasi pengganas” dan oleh itu, tidak layak menjadi presiden Turkiye, kata laporan itu.
Selain itu, Ogan dilaporkan akan membentangkan isu yang dibincangkannya bersama Erdogan.
Mereka didakwa bersetuju untuk tidak mengubah empat artikel pertama perlembagaan, untuk mengekalkan identiti Turkiye dan memerangi semua jenis kumpulan pengganas serta menghantar pulang pencari suaka secara berperingkat mengikut satu rancangan.
Kedua-dua pihak juga mencapai persefahaman bahawa perlu ada pembangunan ekonomi selaras dengan amalan antarabangsa dan lebih fleksibiliti dalam kadar faedah.
Minggu lalu, Ogan mengumumkan beberapa siri syarat yang akan menjadi kunci kepada keputusannya untuk menyokong mana-mana calon.
Antara lain, beliau menuntut supaya tiada kerusi diberikan kepada anggota pembangkang Parti Demokratik Rakyat (HDP) yang dakwanya adalah sayap politik Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang dianggap sebagai pertubuhan pengganas dan diharamkan di Turkiye.
Dalam pilihan raya itu, HDP memutuskan untuk tidak meletakkan calonnya sendiri dan menyokong Kilicdaroglu. – BERNAMA