SUNGAI BULOH: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP (B) B. D. Henry mengimbau cabaran sepanjang 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk membanteras jenayah terancang, ancaman komunis dan tragedi 13 Mei 1969.
Henry, 94, berkata beliau menyertai pasukan polis pada 1951 ketika negara masih di bawah pentadbiran British. Anggota polis ketika itu sentiasa berdepan risiko diserang komunis dan diburu penjenayah.
Beliau turut berkhidmat hampir lima tahun dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) di Ipoh, Perak pada 1968 serta terbabit dalam operasi keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand. Ketika rusuhan 13 Mei 1969, anggota polis bertugas tanpa henti bagi memulihkan keadaan.
Menurut Bernama, Henry berkongsi pengalaman itu selepas menerima lawatan kebajikan daripada Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Selangor di St. Mark’s Cozy Home, Kampung Baru Sungai Buloh.
Lawatan itu diadakan bagi memberi sokongan moral kepada Henry yang kehilangan isterinya bulan lalu. Turut hadir bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Dell Akbar Khan.



