LIMBANG: Bekas Ketua Jabatan Pengangkutan Jalan Limbang (JPJ) meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas , pagi tadi.
Beliau yang kini bertugas di SP Sekaloh Miri, Morsidi Rosli, 47 disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.
Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Limbang Julaihee Dison berkata, arwah meninggal di rumah saudaranya di Kampung Luak, Miri kira-kira jam dua pagi tadi.
“Arwah yang masih belum berkahwin itu dikatakan mengalami sesak nafas dan disedari sendiri oleh keluarga saudaranya.
“Keluarga saudaranya kemudian menghubungi pihak hospital namun mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak paramedik yang bertugas.
Julaihee berkata, jenazah dibawa balik ke kampung halamannya di Kampung Sembiling, Jalan Pandaruan untuk dikebumikan.
“Arwah dibawa ke Limbang menggunakan van jenazah dengan diiringi lima buah kereta peronda JPJ Miri, Limbang dan Lawas pada jam 10 pagi.
“Jenazah tiba di kediamannya pada jam 1.30 petang dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sembiling,” ujarnya.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah seramai lebih 40 orang anggota JPJ Miri, Limbang dan Lawas, agensi-agensi kerajaan lain, penduduk kampung serta rakan-rakan arwah.