PUTRAJAYA: Bekas pengarah besar FELDA tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi prosiding reman berkaitan kes salah guna kuasa.
Kes itu melibatkan pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara serta urusan penjualan tanah milik FELDA.
Individu berusia lewat 60-an itu tiba pada 9.15 pagi dengan kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berbaju kolar hijau, selepas ditahan pada 4 petang semalam bersama seorang lelaki berusia lingkungan 50-an.
Kedua-duanya ditahan selepas diminta hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, manakala SPRM minggu lepas membuka tujuh kertas siasatan menerusi Ops FELLA berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Siasatan itu meliputi transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset FELDA dan FIC antara 2010 hingga 2020, termasuk isu pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd di Limbang, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah, pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London, penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), selain hartanah Park City Grand Plaza yang masih dalam proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) seperti dilapor BERNAMA



