ARTIKEL

Belajar bersyukur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Kita hidup dalam era moden apabila kehidupan orang lain sentiasa terpapar pada skrin telefon pintar kita setiap hari.

Buka sahaja media sosial, kita disajikan dengan gambar rumah banglo mewah, kereta berkuasa tinggi, percutian ke luar negara serta gelaran dan jawatan hebat yang menyilaukan mata.

Tanpa disedari, timbul rasa kagum yang akhirnya bertukar menjadi benih cemburu dan rasa rendah diri.

Kita mula mempersoalkan takdir: “Mengapa aku tidak sehebat mereka?

Mengapa rezeki aku biasa-biasa sahaja?”

Namun, pernahkah kita berhenti sejenak dan ber kir dari sudut yang berbeza?

Hakikatnya, dalam diam, orang yang kita kagumi itu mungkin sedang memandang kehidupan kita dengan rasa cemburu. Apa-apa yang kita miliki hari ini mungkin merupakan impian terbesar yang sentiasa mereka titipkan dalam doa setiap malam.

Percaturan Tuhan sangat adil dan penuh hikmah. Rezeki terlalu luas untuk diukur hanya melalui angka dalam penyata bank atau saiz rumah yang kita huni.

Jika kita tidak dikurniakan kebebasan kewangan yang melimpah ruah, perhatikanlah aspek kehidupan yang lain.

Adakah kita mempunyai kesihatan yang baik sehingga mampu bernafas lega tanpa bergantung pada ubat-ubatan?

Adakah kita mempunyai kiran yang tenang sehingga mampu tidur lena sebaik sahaja berbaring di atas tilam tanpa perlu menanggung beban kiran yang berat?

Itulah rezeki yang sangat mahal nilainya.

Malah, kebebasan masa juga merupakan satu nikmat yang kerap dilupakan.

Berapa ramai antara kita yang berpeluang melihat anak-anak membesar di depan mata, mendengar gelak tawa mereka setiap hari dan sentiasa berada di sisi keluarga tercinta?

Ada individu yang dikurniakan wang bertimbun, namun terpaksa mengorbankan masa berkualiti bersama-sama anak-anak kerana tuntutan kerja yang tiada kesudahan.

Ada juga yang mempunyai kedudukan tinggi, tetapi hidup jauh beribu-ribu batu daripada ibu bapa yang semakin uzur.

Mereka merindui saat dapat menyuap makanan ke mulut orang tua atau sekadar duduk berbual kosong di pangkin rumah kampung.

Realiti di sebalik tabir kejayaan

Kehidupan yang kelihatan sempurna dari luar kerap kali menyembunyikan pengorbanan yang sangat besar. Kita kerap terpukau melihat kejayaan seseorang tanpa mahu mengetahui harga yang perlu dibayar untuk berada di puncak kejayaan tersebut.

Misalnya, pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, pernah mencatat rekod jualan luar biasa mencecah RM2 juta dalam tempoh kurang dua minit semasa pelancaran produknya menerusi TikTok Live.

Angka itu sangat mengagumkan dan menjadi idaman ramai bakal usahawan.

Namun, di sebalik angka jutaan ringgit itu, beliau mendedahkan menerusi platform Threads bahawa beliau hanya sempat tidur selama 30 minit selepas pelancaran tersebut kerana tidak dapat melelapkan mata sehingga waktu subuh. Kejayaan yang besar datang bersama tanggungjawab yang menggunung dan tekanan yang tinggi.

Mereka yang mempunyai harta bertimbun kerap kali tidak mempunyai masa untuk diri sendiri kerana sentiasa sibuk memikirkan perniagaan, pekerja dan persepsi orang di sekeliling.

Adakah kita berani dan sanggup menukar kehidupan tenang yang kita nikmati sekarang dengan tekanan yang mereka tanggung setiap hari?

Justeru, setiap manusia diuji dengan apa-apa yang ada dan apa-apa yang tiada.

Tiada seorang pun di muka bumi ini memiliki segala-galanya dengan sempurna.

Lihatlah sekeliling kita.

Ada pasangan yang mungkin kurang berada dari segi kewangan, tetapi dikurniakan anak-anak yang comel dan sihat sebagai penyeri rumah tangga.

Sebaliknya, ada juga pasangan kaya-raya yang memandu kereta mewah dan tinggal di rumah yang indah, namun bertahun-tahun merintih memohon cahaya mata.

Mereka sanggup menghabiskan ratusan ribu ringgit dan berusaha selama bertahun-tahun demi merasai pengalaman menjadi ibu dan bapa. Begitu juga dengan ikatan kekeluargaan.

Ada orang kaya harta tetapi sunyi kasih sayang, manakala ada yang hidup sederhana tetapi dikelilingi keluarga yang sentiasa menyokong dan saling menyayangi.

Setiap nikmat yang diberikan Allah hadir dengan pakejnya yang tersendiri dan setiap ketetapan-Nya mengandungi hikmah yang sangat mendalam jika kita mahu bertafakur.

Belajar bersyukur

Masalah utama manusia hari ini bukan kerana kita kurang menerima nikmat, tetapi kerana kita terlalu sibuk memandang apa-apa yang ada di tangan orang lain sehingga terlupa menghitung nikmat yang ada dalam genggaman sendiri.

Jangan biarkan mata kita sentiasa mendongak ke atas sehingga kita terlupa untuk bersyukur atas apa-apa yang sedang kita miliki.

Justeru, ambil masa sejenak untuk bermuhasabah dengan memulakan langkah mengurangkan keluhan.

Setiap kali terdetik rasa ingin mengeluh tentang kekurangan diri, segera alihkan perhatian kepada perkara yang masih kita miliki.

Sebagai contoh, jika kita belum mampu memiliki kereta mewah, bersyukurlah kerana kita masih mempunyai kenderaan yang mampu membawa kita ke destinasi dengan selamat.

Pada masa yang sama, hentikan tabiat membandingkan diri dengan orang lain kerana kehidupan ini bukan perlumbaan untuk menentukan siapa yang paling kaya atau paling berjaya.

Laluan, kadar rezeki dan jalan cerita setiap individu sebenarnya telah disusun dengan begitu indah oleh Pencipta.

Akhir sekali, belajarlah menikmati detik yang sedang dilalui.

Hargailah setiap saat bersama-sama ibu bapa selagi mereka masih ada di depan mata dan peluklah anak-anak selagi mereka masih mahu dipeluk kerana masa yang berlalu tidak akan kembali.

Belajarlah bersyukur dengan apa-apa yang kita ada hari ini.

Apa-apa yang kita anggap sebagai kehidupan biasa dan sederhana mungkin merupakan satu bentuk kebahagiaan paling mewah yang sedang diimpikan oleh orang lain.

Syukurilah nikmat yang ada kerana dengan bersyukur, hati akan menjadi lapang, hidup akan terasa tenang dan jiwa akan sentiasa kaya. Berdoalah agar kita sentiasa berasa cukup kerana kaya itu tidak semestinya bererti cukup.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU