Buat julung kalinya, 54 murid Islam SJKC Chung Hua Sungai Buda menyertai Program Simulasi Haji Cilik yang dianjurkan hasil kerjasama antara Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Bako dengan Panitia Pendidikan Islam sekolah tersebut.
Program yang turut disertai empat murid SK Senari itu berjaya memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada peserta melalui gabungan teori dan amali berkaitan ibadah haji, sesuai dengan tujuan penganjuran program ini untuk memberikan pendedahan awal kepada murid mengenai pelaksanaan ibadah haji secara lebih dekat serta praktikal.
Selain meningkatkan kefahaman tentang rukun Islam kelima, program tersebut turut menyemai minat, kecintaan dan kesedaran dalam kalangan murid terhadap kewajipan menunaikan haji apabila berkemampuan kelak.
Sepanjang program itu, peserta dibimbing mengikuti simulasi perjalanan ibadah haji mengikut tertib yang sebenar.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah pemakaian ihram, lafaz niat haji, tawaf mengelilingi replika Kaabah, sai antara Bukit Safa dengan Marwah, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah serta tahalul.
Setiap aktiviti disampaikan dengan penerangan yang jelas dan terperinci bagi membantu murid memahami rukun serta wajib haji dengan lebih berkesan.
Turut diadakan ialah ceramah khas yang disampaikan oleh Fauzi Dolah, yang berkongsi pengalaman dan penghayatan beliau sepanjang menunaikan ibadah haji.
Ceramah tersebut memberikan inspirasi kepada murid tentang kepentingan ibadah haji sebagai salah satu tuntutan agama yang perlu dihayati oleh setiap Muslim.
Salah seorang peserta, Nur Alfanisa Mohd Ahnaf Wafiy Lim berkata, beliau amat teruja kerana berpeluang merasai sendiri pengalaman melaksanakan simulasi ibadah haji.
“Sebelum ini, saya hanya melihat orang menunaikan haji melalui televisyen. Apabila dapat melaksanakan tawaf, sai dan melontar jamrah secara praktikal, saya lebih memahami pelaksanaan ibadah haji.
“Program ini sangat menyeronokkan dan memberikan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Mohd Amzaree Mohd Jeffery Ho, turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat mengikuti program tersebut.
“Saya sangat seronok kerana dapat belajar sambil melakukan sendiri setiap aktiviti berkaitan ibadah haji.
“Program ini menjadikan saya lebih memahami rukun haji dan saya berharap suatu hari nanti dapat menunaikan haji bersama-sama keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Panitia Pendidikan Islam SJKC Chung Hua Sungai Buda, Ustazah Azma Mamat merakamkan penghargaan kepada Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Bako atas kerjasama erat dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau berkata, walaupun program simulasi haji tidak terkandung dalam kurikulum rasmi sekolah rendah, penganjurannya memberikan nilai tambah yang besar kepada proses pembelajaran murid kerana mereka dapat memahami ibadah haji melalui pengalaman secara langsung.
“Pendekatan pembelajaran secara praktikal seperti ini lebih mudah difahami oleh murid dan meninggalkan kesan yang mendalam.
“Kami berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai murid berpeluang merasai pengalaman yang sama,” katanya.
Turut hadir ialah Penasihat Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Bako, Ustaz Tarmizi Sabeli dan Dr. Abdol Kader Othman yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha memperkasakan pendidikan Islam dalam kalangan murid sekolah rendah.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Kanan Kokurikulum SJKC Chung Hua Sungai Buda, Alexander Sim.
Dalam ucapannya, beliau memuji usaha penganjur yang berjaya menggabungkan elemen pendidikan, pembentukan sahsiah dan pengalaman praktikal dalam satu program yang cukup bermanfaat.
Ujarnya, aktiviti seperti ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan murid tentang ibadah haji, malah membantu membentuk disiplin, kerjasama, keyakinan diri serta nilai murni yang penting dalam kehidupan seharian.
Program berakhir dengan penyampaian cenderahati dan hadiah untuk sesi soal jawab semasa majlis penutupan kepada semua pihak yang terlibat sebelum diakhiri sesi bergambar kenangan bersama-sama peserta, guru serta tetamu jemputan.
Kejayaan Program Simulasi Haji Cilik ini diharapkan menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program pendidikan berasaskan pengalaman yang mampu melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak mulia dan memahami tuntutan agama dengan lebih mendalam.



