KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan meningkatkan kerjasama dengan bandar raya Kioto dan Metropolitan Tokyo dalam usaha meningkatkan pengurusan bandar raya Kuching pada masa akan datang.
Timbalan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, amalan serta pendekatan disiplin diterapkan oleh dua bandar raya utama Jepun itu merupakan antara teladan terbaik bagi membina sesebuah bandar raya produktif.
“Tokyo Metropolitan antara bandar raya paling padat penduduk di dunia dengan jumlah penduduk kira-kira 34 juta namun dapat menguruskan penduduk begitu teratur, termasuk jarang kita melihat suasana kesesakan lalu lintas berlaku di sana kecuali terdapat kemalangan.
“Jadi pada peringkat DBKU, kita cuba mencontohi apa yang dilakukan oleh mereka di samping mengeratkan kerjasama dengan pihak pengurusan bandaraya Kioto pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian untuk mengulas tentang lawatan rasmi DBKU ke negara Jepun baru-baru ini ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N4 Pantai Damai di Jalan Haji Taha di sini, semalam.
Tambahnya, DBKU komited untuk menghantar pegawai berkaitan ke Kioto dan Tokyo dalam usaha berkongsi ilmu pengetahuan tentang cara menyesuaikan disiplin atau budaya untuk menjadikan sesebuah bandar raya lebih teratur dan sistematik.
Beliau turut mengesahkan telah mengetuai rombongan DBKU dalam lawatan kerja ke beberapa buah bandar raya di Jepun bermula 22 April hingga 1 Mei lalu.
Lawatan tersebut disertai seramai 33 orang warga kerja, termasuk Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman, Pengarah DBKU Haidir Abang, Timbalan-Timbalan Pengarah serta Ketua-Ketua DBKU.
Sepanjang lawatan itu, empat bandar raya Jepun telah dilawati iaitu Osaka, Kobe, Kioto dan Tokyo.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman menegaskan antara teladan terbaik yang diterapkan di semua bandar raya itu adalah bab kebersihan bandar.
“Penekanan kebersihan penting kerana ia menjadi landasan bagi kebaikan lain.
“Apabila kita menjadikan amalan kebersihan sebagai amalan hidup, maka ia menjurus kepada kebaikan lain kerana ia merupakan asas kepada sesebuah kehidupan.
“Kita juga dapat melihat di Jepun apabila mereka pergi ke sesuatu tempat yang meriah, mereka akan beratur,” katanya.




