ARTIKEL

| FOTO Janaan AI

Jurang generasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lalu, pojok saya bertajuk Jangan Menekan-nekan turut merujuk kepada sedutan video ceramah Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin, yang membincangkan generasi strawberi.

Secara ringkas, beliau menegur segelintir golongan muda yang dianggap kurang berdaya tahan apabila berdepan dengan tekanan, teguran dan cabaran.

Susulan penyebaran video itu, beliau mendedahkan beliau perlu memberikan maklum balas terhadap aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Perkara itu dikongsikan ketika kuliah duha di Masjid Felda Kampung Sertik, Bentong, pada 18 Oktober lalu, sebelum rakaman kuliah tersebut tersebar dan mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Sesetengah warganet melihat situasi itu seolah-olah menguatkan tanggapan generasi strawberi sukar menerima teguran.

Namun, persoalannya bukan sekadar siapa yang mudah tersinggung atau siapa yang terlalu keras dalam memberikan teguran.

Yang lebih penting ialah bagaimana perbezaan cara berfikir antara generasi boleh mewujudkan jurang komunikasi sehingga sesuatu yang dianggap sebagai nasihat oleh satu pihak dianggap sebagai tekanan oleh pihak lain.

Isu ini wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas tanpa terikat kepada mana-mana kejadian tertentu.

Hakikatnya, setiap generasi membesar dalam persekitaran yang berbeza, sekali gus membentuk pendekatan tersendiri dalam membuat keputusan, menghadapi masalah dan menilai sesuatu perkara.

Golongan yang lebih berusia lazimnya bersandar pada pengalaman. Mereka pernah melalui kesukaran, melakukan kesilapan dan belajar daripada kegagalan.

Oleh sebab itu, nasihat yang diberikan mungkin lebih daripada niat untuk mengelakkan generasi muda daripada mengulangi kesilapan sama.

Sebaliknya, golongan muda membesar dalam dunia yang berubah dengan pantas, dengan tuntutan kehidupan, perkembangan teknologi dan persaingan yang berbeza. Mereka mungkin memiliki pendekatan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran generasi terdahulu.

Perbezaan ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan. Sebagai contoh, dahulu ada pasangan yang memiliki untuk berkahwin terlebih dahulu sebelum mencapai kestabilan ekonomi kerana percaya rezeki akan datang bersama tanggungjawab.

Kini, ada pula yang memilih untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dan kerjaya sebelum mendirikan rumah tangga kerana mahu mengurangkan risiko serta memuaskan persediaan yang lebih rapi.

Kedua-dua pendekatan mempunyai pertimbangan tersendiri. Masalah timbul apabila satu pihak menganggap caranya paling betul, manakala pilihan pihak lain terus dianggap salah tanpa berusaha memahami sebab di sebaliknya.

Perkara sama turut berlaku dalam kehidupan berkeluarga dan di tempat kerja. Sebagai contoh, pekerja yang mengemukakan cadangan berbeza boleh dianggap mencabar kewibawaan ketua, sedangkan tujuannya mungkin untuk menambah baik keadaan.

Apabila masing-masing terlalu sibuk mempertahankan pendirian, ruang untuk saling memahami semakin sempit. Akhirnya, nasihat yang baik boleh ditolak, manakala kritikan yang membina dianggap sebagai serangan peribadi.

Bagaimanapun, memahami sesuatu pandangan tidak bermaksud perlu bersetuju dengan semua perkara.

Golongan muda tetap perlu belajar menerima teguran, mengakui kesilapan dan bertanggungjawab atas keputusan sendiri. Pengalaman golongan yang lebih berusia juga tidak seharusnya diketepikan hanya kerana zaman sudah berubah.

Pada masa sama, golongan yang lebih berusia perlu menyedari pengalaman tidak semestinya menawarkan penyelesaian yang sesuai untuk setiap keadaan.

Teguran yang bertujuan membimbing perlu disampaikan dengan cara yang memberi ruang kepada seseorang untuk belajar, bukannya menyebabkan mereka berasa dipandang rendah.

Adakalanya, perbezaan pandangan membantu kita melihat kelemahan yang sebelum ini tidak kita sedari.

Kematangan tidak diukur berdasarkan usia atau kedudukan, sebaliknya melalui kesediaan untuk menilai sesuatu secara rasional dan mengakui kita juga mungkin tersilap.

Oleh sebab itu, jurang antara generasi tidak dapat dirapatkan hanya dengan meminta golongan muda lebih menghormati orang tua atau mengharapkan golongan yang lebih berusia menerima perubahan zaman.

Usaha kedua-dua pihak perlu bermula dengan kesediaan untuk mendengar dan memahami alasan di sebalik sesuatu pandangan.

Akhirnya, perbezaan antara generasi bukanlah sesuatu yang perlu dihapuskan, sebaliknya realiti kehidupan yang perlu ditangani dengan matang.

Kita mungkin tidak akan sentiasa bersetuju, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh belajar menghormati alasan di sebalik perbezaan itu.

Jangan sampai keinginan untuk membuktikan diri sendiri betul menyebabkan kita gagal melihat kebenaran dalam pandangan orang lain.

Dalam usaha untuk dihormati, jangan lupa orang yang berhadapan dengan kita juga mahu difahami.

Barangkali, jurang antara generasi mula dirapatkan bukan ketika semua orang mempunyai pandangan sama, tetapi apabila masing-masing bersedia mendengar sebelum menghukum.

BERITA LAIN

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan. Islam tidak melarang

Kesedaran sivik masih rendah

SEJAK awal bulan ini, laman Facebook saya dipenuhi dengan pelbagai cerita, video, berita dan gambar mengenai perlumbaan Formula Satu (Formula One) yang berlangsung di Litar

BERITA TERBARU

Papan pintar RM10,000 untuk komuniti Sikh Kuching

KUCHING: Komuniti Sikh di Gurdwara Sahib Kuching bakal menerima sumbangan papan pintar interaktif bernilai kira-kira RM10,000 daripada Kerajaan Sarawak bagi memperluas akses pembelajaran digital dalam