ARTIKEL

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan.

Islam tidak melarang umatnya berhutang apabila terdapat keperluan dan urusan tersebut dilakukan dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.

Namun begitu, setiap hutang yang dibuat wajib diberikan perhatian kerana hutang melibatkan hak orang lain yang mesti ditunaikan.

Islam mendidik umatnya supaya bersikap amanah, jujur dan bertanggungjawab dalam setiap urusan kewangan.

Seseorang yang meminjam wang daripada orang lain hendaklah mempunyai niat untuk membayarnya semula, bukannya mengambil kesempatan terhadap kelemahan pemberi pinjaman.

Oleh itu, kewajipan menyelesaikan hutang tidak boleh dipandang ringan kerana hutang bukan sahaja berkaitan dengan hubungan sesama manusia, malah turut melibatkan pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT.

Dosa besar

Seseorang yang sengaja enggan membayar hutang sedangkan dia berkemampuan telah melakukan kezaliman terhadap pemberi pinjaman.

Perbuatan tersebut boleh menyebabkan peminjam mengalami kesukaran, lebih-lebih lagi jika wang itu diperlukan untuk menampung perbelanjaan keluarga atau keperluan hidup.

Rasulullah SAW memberikan peringatan tentang kewajipan melunaskan hutang melalui sabda Baginda: “Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah suatu kezaliman.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan orang yang berkemampuan tetapi sengaja melambat-lambatkan pembayaran hutang telah melakukan kezaliman.

Perbuatan tersebut tidak wajar dijadikan kebiasaan kerana boleh merosakkan kepercayaan dan hubungan sesama manusia.

Allah SWT juga berfirman: “Dan hendaklah orang yang dipercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah, Tuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 283)

Ayat ini mengingatkan setiap orang yang mempunyai tanggungjawab untuk membayar hutang supaya menunaikan amanah tersebut dengan penuh ketakwaan.

Walaupun hutang dibuat melalui persetujuan antara dua pihak, tanggungjawab membayarnya tetap wajib dilaksanakan.

Lebih membimbangkan, hutang yang tidak diselesaikan boleh menjadi tuntutan pada hari akhirat. Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga hutang itu dilunaskan.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati sebelum membuat pinjaman. Janganlah berhutang semata-mata untuk memenuhi kehendak yang tidak perlu sehingga akhirnya membebankan diri sendiri dan keluarga.

Hak tuntut hutang

Islam bukan sahaja mewajibkan penghutang melunaskan hutangnya, malah memberikan hak kepada peminjam untuk menuntut semula wang yang dipinjamkan.

Menuntut hutang bukanlah perbuatan yang tercela selagi dilakukan dengan cara yang baik, beradab dan tidak melampaui batas.

Sekiranya seseorang penghutang sengaja mengelakkan diri, enggan memberikan kerjasama atau terus menangguhkan pembayaran sedangkan dia mampu, peminjam berhak menuntut semula wang yang dipinjamkan.

Hal ini penting bagi memastikan hak seseorang tidak dinafikan hanya kerana sikap tidak bertanggungjawab pihak lain.

Bagaimanapun, sekiranya penghutang benar-benar mengalami kesempitan hidup, Islam menggalakkan pemberi pinjaman memberikan tempoh tambahan.

Allah SWT berfirman: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya. Dan jika kamu menyedekahkan hutang itu, maka hal itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 280)

Ayat ini menunjukkan Islam mengimbangi hak peminjam dengan insan terhadap penghutang yang benar-benar menghadapi kesulitan.

Peminjam boleh memberikan kelonggaran atau menghalalkan sebahagian hutang sebagai satu bentuk kebajikan.

Hutang ialah amanah yang wajib diselesaikan. Penghutang hendaklah berusaha melunaskan tanggungjawabnya, manakala peminjam berhak menuntut hutang dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.

Janganlah kita memandang ringan urusan hutang kerana setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas hak orang lain yang belum ditunaikannya.

Mudah-mudahan kita menjadi insan yang amanah, bertanggungjawab dan terpelihara daripada kezaliman, sama ada ketika memberikan pinjaman mahupun ketika menerimanya.

BERITA LAIN

Jurang generasi

MINGGU lalu, pojok saya bertajuk Jangan Menekan-nekan turut merujuk kepada sedutan video ceramah Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin, yang membincangkan generasi strawberi.

Kesedaran sivik masih rendah

SEJAK awal bulan ini, laman Facebook saya dipenuhi dengan pelbagai cerita, video, berita dan gambar mengenai perlumbaan Formula Satu (Formula One) yang berlangsung di Litar

BERITA TERBARU

15 penerima peruntukan khas Perdana Menteri di Mukah

MUKAH: Majlis Sambutan Warga Emas Mukah bukan sahaja menjadi wadah menghargai golongan berusia, malah turut menyaksikan penyerahan pelbagai peruntukan dan sumbangan bagi menyokong keperluan masyarakat