SEJAK awal bulan ini, laman Facebook saya dipenuhi dengan pelbagai cerita, video, berita dan gambar mengenai perlumbaan Formula Satu (Formula One) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila Malaysia menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 dari 2 hingga 4 Oktober lalu.
Ya, setiap kali saya membuka laman media sosial ini, pasti ada satu atau dua cerita mengenai Formula Satu yang terpapar.
Media arus perdana dalam talian, sama ada dari dalam atau luar negara, khususnya menerusi ruangan sukan dan hiburan, juga sentiasa menyiarkan berita mengenai perkembangan terkini Formula Satu serta pelumbanya.
Jika diimbas kembali, cerita mengenai penganjuran Formula Satu di negara kita mula mendapat perhatian apabila permohonan untuk menjadi antara 500 sukarelawan Grand Prix Bahrain dibuka pada penghujung Julai lalu.
Sukarelawan yang terpilih kemudian mengikuti sesi penerangan, taklimat, latihan simulasi dan penugasan zikal sebagai persediaan sebelum menjalankan tugas.
Sepanjang penganjuran Grand Prix Gulf Air Bahrain di SIC, seramai 261,000 penonton direkodkan hadir sepanjang hujung minggu perlumbaan, termasuk 103,000 penonton pada hari perlumbaan utama.
Sambutan luar biasa peminat terhadap kepulangan Formula Satu ke Malaysia menyaksikan tiket perlumbaan habis dijual.
Jumlah kehadiran itu sekali gus mencatatkan rekod penonton tertinggi dalam sejarah Litar Antarabangsa Sepang.
Seorang sahabat saya pernah berseloroh mengajak saya menyaksikan perlumbaan tersebut memandangkan tiket perlumbaan masih dijual.
Jika rancangan kami menjadi kenyataan, kami mungkin menjadi sebahagian daripada 261,000 penonton di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Harga tiket Madani bagi rakyat Malaysia ialah RM200 (Hillstand G), RM809.60 (Hillstand B dan C), RM1,291.40 (Grandstand F), RM1,386.00 (Grandstand K1) dan RM2,083.40 (Grandstand Utama).
Harga tiket bagi peminat antarabangsa, iaitu mereka yang bukan warganegara Malaysia, pula antara RM970 hingga RM2,500 untuk tiga hari.
Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem, menyifatkan sambutan luar biasa peminat terhadap acara berkenaan sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan, khususnya memandangkan tempoh persediaan penganjuran yang singkat.
“Melihat sambutan luar biasa daripada peminat, khususnya dengan mengambil kira tempoh singkat acara ini dianjurkan, merupakan satu pencapaian yang amat besar.
“Hal itu mencerminkan kekuatan kerjasama antara Bahrain dengan Malaysia serta keazaman bersama untuk menjadikan Grand Prix (GP) yang unik ini satu kejayaan,” katanya.
Ketika kita bersorak gembira menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) yang kembali dianjurkan di Malaysia selepas kali terakhir berlangsung pada 2017, timbul pula masalah lain sejurus selepas perlumbaan tamat.
Kemeriahan acara itu dicemari oleh lambakan sampah yang berselerak di kawasan penonton.
Gambar dan video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan sampah sarap ditinggalkan berselerak di kawasan tempat duduk serta ruang penonton selepas perlumbaan tamat.
Ketika pertama kali melihat gambar dan video tersebut, sejujurnya, saya sangat terkejut.
Saya tidak menyangka begitu banyak sampah sarap dibuang atau ditinggalkan di kawasan penonton di tepi litar.
Perkara pertama yang terlintas dalam kiran saya ketika itu ialah sikap segelintir penonton yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai tahap kesedaran sivik yang sangat rendah.
Sampah sarap ditinggalkan merata-rata.
Sungguh memalukan!
Lebih mengecewakan, ada penonton yang sanggup membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli tiket bagi menyaksikan perlumbaan berprestij itu, namun masih gagal menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan.
Sepatutnya, penonton mempunyai kesedaran sivik yang tinggi tanpa mengira harga tiket yang dibeli.
Tambahan pula, kesanggupan menempuh kesesakan lalu lintas ketika pergi dan pulang semata-mata untuk menyaksikan perlumbaan itu sepatutnya disertai sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan acara.
Kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama berlaku selepas sesuatu acara besar melabuhkan tirainya.
Kejadian serupa dilaporkan berlaku selepas siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dengan Argentina pada 20 Julai lalu, apabila sampah sarap dan sisa makanan bertaburan di Dataran Merdeka.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, lebih 25,000 peminat bola sepak berhimpun untuk menyaksikan siaran langsung perlawanan tersebut menerusi skrin gergasi dalam acara yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Selepas perlawanan tamat, kawasan bersejarah itu ditinggalkan dengan timbunan sisa makanan, plastik pembungkus dan alas tempat duduk plastik.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di laman Facebooknya, sampah sarap kelihatan memenuhi kawasan Dataran Merdeka.
Sehubungan dengan itu, DBKL menzahirkan rasa sedih melihat keadaan kawasan bersejarah tersebut yang dipenuhi pelbagai jenis sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung.
“Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan.
Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap,” menurut kenyataan DBKL.
Oleh itu, saya bersetuju dengan kenyataan DBKL bahawa kita boleh meraikan sesuatu acara dengan meriah dan bersorak sepuas-puasnya.
Namun, kebebasan untuk bergembira tidak bermakna kita bebas mengotorkan ruang milik bersama.
Kesimpulannya, meskipun pelbagai kempen kebersihan dilaksanakan, usaha menjaga kebersihan, khususnya selepas sesuatu acara atau sambutan, masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Kita harus ingat, menjaga kebersihan persekitaran ialah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama setiap individu.






