Hasrat menjana pendapatan sampingan sewaktu menuntut di menara gading memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Menceburi bidang pemasaran gabungan (affiliate marketing) di tengah-tengah kesibukan mengikuti kuliah membuktikan kecekalan generasi muda hari ini.
Namun, mengimbangi tuntutan akademik dengan penghasilan kandungan bukanlah sesuatu yang mudah dan bebas daripada risiko.
Beban kerja berganda berpotensi mencetuskan tekanan emosi, kelesuan serta corak pemakanan yang tidak menentu jika aspek kesihatan diabaikan.
Suara Sarawak berpeluang menemu bual individu yang terlibat dalam isu tersebut.

Ceritakan sedikit latar belakang anda.
Saya Avril Staciemabel Komiti, berusia 22 tahun. Kini, saya sedang mengikuti pengajian di Kolej Universiti i-CATS dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Kepujian.
Bagaimanakah anda membahagikan masa dan mengimbangi keutamaan antara komitmen akademik sebagai pelajar dengan aktiviti penghasilan kandungan afiliasi?
Saya sentiasa mengutamakan komitmen sebagai pelajar terlebih dahulu. Saya akan memastikan semua kelas dihadiri dan tugasan akademik diselesaikan sebelum beralih kepada aktiviti pemasaran afiliasi. Saya sengaja tidak mencampuradukkan kedua-dua urusan ini pada masa yang sama agar tumpuan tidak terganggu dan saya dapat kekal fokus.
Adakah anda menggunakan sebarang aplikasi atau kaedah khusus untuk membantu menguruskan jadual tugasan serta tarikh akhir harian?
Dalam menguruskan jadual harian yang padat, saya tidak bergantung pada aplikasi khusus. Saya hanya memanfaatkan fungsi Notes dan Reminder pada telefon pintar untuk mencatat setiap tugasan mengikut tarikh akhir penghantaran. Kaedah ringkas ini memudahkan saya menyusun keutamaan dan mengetahui tugasan yang perlu disiapkan terlebih dahulu.


Pernahkah anda mengalami keletihan atau tekanan akibat beban tugasan akademik dan aktiviti pemasaran gabungan? Bagaimanakah anda mengatasinya?
Bagi saya, mengimbangi dua komitmen yang berbeza sememangnya meletihkan. Apabila mula berasa terlalu penat atau tertekan akibat lambakan tugasan, saya memilih untuk berehat seketika. Saya tidak mahu memaksa diri kerana percaya kerja yang dilakukan dalam keadaan tertekan tidak akan memberikan hasil yang berkualiti.
Apakah faktor utama yang mendorong atau menginspirasikan anda untuk memulakan kerjaya sebagai ejen pemasaran gabungan?
Pada mulanya, pelibatan saya dalam dunia pemasaran gabungan sebenarnya berlaku secara tidak sengaja apabila saya sering melihat kejayaan ramai pencipta kandungan menjana pendapatan menerusi TikTok. Tertarik dengan potensi tersebut, timbul keinginan untuk mencuba bidang ini.
Pada awalnya, ia sekadar percubaan suka-suka, namun lama-kelamaan saya mula mempelajari teknik penghasilan kandungan yang berkesan serta strategi promosi produk yang betul. Pembelajaran berterusan itulah yang mendorong saya untuk terus konsisten sehingga hari ini.
Sejauh manakah persaingan dalam industri pemasaran gabungan memberikan cabaran kepada anda dan apakah pendekatan yang digunakan untuk meraih kepercayaan audiens?
Bagi saya, cabaran paling besar dalam bidang ini ialah meraih kepercayaan audiens terhadap produk yang dipromosikan. Memandangkan persaingan kini semakin sengit berikutan pertambahan ejen pemasaran gabungan, saya perlu tampil berbeza.
Oleh itu, saya mengambil pendekatan dengan menghasilkan kandungan yang jujur serta menunjukkan cara dan fungsi sebenar sesuatu produk, berbanding sekadar mendesak orang ramai untuk membelinya.
Adakah pendapatan yang diperoleh daripada aktiviti pemasaran gabungan mencukupi untuk menampung keperluan harian anda sebagai pelajar?
Dari segi pengurusan kewangan, saya mengambil langkah berhati-hati dengan mendisiplinkan diri untuk menyimpan sebahagian daripada komisen yang diperoleh. Saya mengelakkan daripada membelanjakan semua pendapatan tersebut dan akan mengasingkan lebihan wang sebagai tabungan untuk masa depan.
Mengenai perancangan pelaburan pula, saya belum memberikan tumpuan terhadap perkara tersebut buat masa ini. Namun, saya tetap berniat untuk mempelajari ilmu pelaburan apabila kedudukan kewangan semakin stabil kelak.
Apakah nasihat atau panduan yang ingin anda sampaikan kepada rakan pelajar lain yang mahu menceburi bidang pemasaran gabungan?
Nasihat saya, sekiranya mempunyai minat dalam bidang ini, ambillah langkah pertama dan cuba terlebih dahulu. Kita tidak perlu menunggu sehingga mahir atau mempunyai jumlah pengikut yang ramai untuk bermula.
Mulakan dengan kemudahan yang ada dan belajar secara berperingkat. Jangan meletakkan harapan untuk terus memperoleh pendapatan yang lumayan kerana kejayaan memerlukan proses dan masa. Perkara paling utama ialah kekal konsisten serta memastikan aktiviti ini tidak sekali-kali mengganggu tumpuan terhadap pelajaran.



