PUTRAJAYA: Belanjawan 2025 menggambarkan komitmen dan iltizam perihal kesejahteraan rakyat, perlindungan golongan rentan, kualiti taraf hidup rakyat, pembasmian rasuah dan pembangunan ekonomi negara.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata, ia juga menyerlah falsafah ekonomi Perdana Menteri dengan tertumpu pada mengangkat martabat rakyat melalui penekanan khusus.
Kayanya, bajet kali ini memberi penekanan kepada prinsip keterangkuman dengan mengambil kira keperluan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama, dan budaya.
“Keterangkuman ini penting bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir, sekali gus mengukuhkan perpaduan serta keharmonian negara.
“KPN diberi peruntukan sebanyak RM711.34 juta iaitu RM587.35 juta ialah perbelanjaan mengurus dan RM123.99 juta perbelanjaan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan.
Peruntukan itu katanya, meningkat sebanyak lebih 11.88 peratus berbanding 2024.
Tambahan pula, beberapa inisiatif khas Belanjawan 2025 turut diumumkan kepada Kementerian Perpaduan Negara iaitu Pelaksanaan program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian bagi memupuk semangat perpaduan serta jati diri (RM50 juta).
“Ia turut memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga sebagai penghubung jalin dalam komuniti (RM20 juta),” katanya.
Selain itu, pendigitalan bahan-bahan khazanah warisan negara dalam usaha memperkasa pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam (RM15 juta).
Pembaikan dan penyelenggaran premis perpaduan bagi meningkatkan perkhidmatan awam kepada rakyat (RM10 juta).
Melalui peruntukan ini, KPN terus memperkasa hala tuju perpaduan negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif serta program yang dapat melestarikan perpaduan rakyat serta memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kementerian Perpaduan Negara akan memberikan tumpuan utama kepada tiga fokus utama pada tahun 2025 iaitu pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga Progresif, Eksplorasi Rukun Negara dan Inisiatif Harmoni MADANI,” katanya.



