Trending

Belanjawan Sarawak 2024 terbesar dalam sejarah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Abang Johari (kanan) menunjukkan teks Belanjawan Negeri 2024 yang dibentangnya pada persidangan DUN, hari ini.

KUCHING: Belanjawan Negeri 2024 mencadangkan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM12,363 juta (RM12.3 bilion), sekali gus menjadi belanjawan terbesar dalam sejarah yang pernah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata daripada jumlah itu, RM4,563 juta (RM4.5 bilion) adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala RM7,800 juta (RM7.8 bilion) adalah untuk peruntukan kepada Akaun Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai pelbagai program dan projek pembangunan.

“Perbelanjaan mengurus sebanyak RM4.5 bilion diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan melibatkan RM1,067 juta atau 24 peratus untuk emolumen kakitangan dan RM1,761 juta atau 39 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan.

“Selain itu RM1,524 juta atau 33 peratus untuk geran dan bayaran tetap, termasuk geran operasi kepada Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, pembayaran hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen dan biasiswa, termasuk bantuan kewangan dan kebajikan, RM107 juta untuk perolehan aset dan RM104 juta untuk perbelanjaan mengurus lain,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2024 pada hari pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata dengan unjuran hasil sebanyak RM12,749 juta dan jumlah Perbelanjaan Biasa sebanyak RM12,363 juta, Belanjawan Negeri 2024 dijangka menjana lebihan sebanyak RM386 juta.

Menjelas lanjut, beliau berkata Belanjawan Negeri 2024 memperuntukkan RM9,038 juta untuk tujuan pembangunan, dengan RM8,915 juta akan dibiayai oleh dana negeri manakala RM123 juta melalui pinjaman persekutuan dan geran yang boleh dibayar balik.

Sementara itu, Abang Johari berkata Belanjawan Negeri 2024 mencadangkan untuk meningkatkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan daripada RM11,503 juta (RM11.5 bilion) pada 2023 kepada RM13,601 juta (RM13.6 bilion) pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak RM2,098 juta (RM2 bilion) atau 18 peratus.

Katanya belanjawan bertemakan Pembangunan Untuk Semua: Bersama, Membina Sarawak yang Sejahtera, Mampan dan Bersatu itu akan terus menjadi bajet pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Belanjawan ini mengimbangi antara menyahut cabaran segera yang sedang kita hadapi, mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat Sarawak, meletakkan asas yang kukuh untuk ekonomi yang lebih berdaya tahan dan terjamin.

“Pada masa sama, memastikan kemampanan fiskal jangka panjang.

Bajet akan memberikan bantuan kos sara hidup di beberapa kawasan untuk mengurangkan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, membuat pelaburan bersasar dan terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat,” katanya.

Tambahnya, secara ringkas bajet itu dirangka merentasi 12 teras strategik seperti mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, merangsang pembangunan wilayah dan luar bandar, menggalakkan pelaburan, keusahawanan dan PKS serta mentransformasikan Sarawak menjadi ekonomi berdaya saing dan berdaya tahan.

Selain itu memperkukuh modal insan dan pembangunan bakat, mempergiatkan transformasi digital, menggalakkan kelestarian alam sekitar, memperkukuh kebajikan masyarakat dan jaringan keselamatan, mempromosikan sukan dan pemerkasaan belia, membangunkan ekonomi berasaskan inovasi dan berorientasikan pengetahuan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan kapasiti kerajaan dan penyampaian perkhidmatan.

“Belanjawan ini dirangka dengan teliti untuk memastikan pembangunan menyentuh setiap pelusuk negeri kita dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar untuk memacu Sarawak ke arah masa depan di mana kemakmuran bukan hanya impian segelintir orang tetapi realiti untuk semua,” katanya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru