Belia akur undi usia 18 tahun

KUCHING: Berikutan Rang Undang-Undang (RUU) mengundi pada usia 18 tahun diluluskan di Parlimen 16 Julai lalu, belia perlu akur dengan peraturan baharu terbabit.

Berbaki dua tahun untuk belia Sarawak memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan kurang empat tahun Pilihan raya Umum (PRU), mereka perlu mempersiapkan diri mengetahui selok-belok politik.

Bagi Mohd Hafiezan Nazari, 19, calon yang rajin turun padang untuk meninjau kehidupan rakyat memiliki undinya kelak.

“Meskipun saya belum bersedia untuk mengundi namun ciri-ciri calon yang mendapat tempat di hati saya ialah rajin.

“Saya tidak memandang partinya kerana pemimpin yang mendengar keluhan rakyat itu terbaik bagi saya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di sini, semalam.

Bagi Mohd Shamsul Jeppri, 20, pula, calon yang dipilihnya harus daripada parti kukuh dan memperjuangkan rakyat.

“Saya akan pilih personaliti calon yang tidak mementingkan diri dan menolong rakyat.

“Saya turut mengambil kira perjuangan partinya terutamanya dari segi pembangunan belia,” jelasnya.

Nurlia Kiman, 20, berpendapat mengundi pada usia 18 tahun agak terlalu muda tetapi, undang-undang telah diluluskan di Parlimen, golongan belia perlu celik politik.

“Oleh kerana undang-undang telah diluluskan, saya akan pilih calon yang mempunyai pengalaman dalam bidang politik.

“Saya juga akan meneliti setiap manifesto yang dijanjikan oleh calon terbabit,” jelasnya.

Sementara itu, Claybert Ahad James, 20, pula memilih calon berdasarkan kreadibilitinya sebagai pemimpin.

“Saya akan memilih calon bebas rasuah dan mendengar rintihan rakyat dengan kerap turun padang.

“Saya akan tolak calon yang hanya pandai berkata-kata atau berjanji sahaja tetapi tidak membawa kemajuan kepada penduduk,” ujarnya.

Pada 16 Julai lalu, RUU dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun lulus di Parlimen.

Ia juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.