BINTULU: Golongan belia digesa memainkan peranan lebih proaktif dalam menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi penganjuran program Makan Malam Belia Dinamik: Malam Penerbangan, yang menekankan pembinaan jaringan, inovasi serta penglibatan dalam sektor pelancongan.
Pengerusi jawatankuasa penganjur program berkenaan, Fong Song Jie berkata majlis itu dianjurkan sebagai platform menghimpunkan belia daripada pelbagai latar belakang bagi menggalakkan pertukaran idea, perkongsian pandangan serta pembentukan jaringan kerjasama yang berpotensi membuka peluang baharu.
“Ini membuktikan belia memerlukan ruang sebegini untuk berinteraksi, membina keyakinan serta mengembangkan potensi diri dalam suasana yang positif dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Makan Malam Belia Dinamik: Malam Penerbangan anjuran Pergerakan Pemuda Parti Demokratik Progresif (PDP) Tanjong Batu, di sebuah restoran terkenal di sini malam tadi.
Presiden PDP merangkap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing hadir sama.
Menurut Fong, penganjuran program mengambil kira cabaran yang dihadapi belia masa kini, khususnya aspek pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan serta perancangan masa depan, selaras dengan usaha menjadikan golongan muda sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.
Sektor pelancongan yang diperkasakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 menawarkan peluang luas kepada belia termasuk dalam bidang penerbangan, hospitaliti, perkhidmatan pelancongan, pengangkutan, pengurusan acara, industri makanan dan minuman, selain pemasaran digital serta penciptaan kandungan.
“Belia tidak seharusnya menjadi pemerhati semata-mata, sebaliknya perlu terlibat secara aktif dan mengambil peluang dalam rantaian industri pelancongan yang sedang berkembang,” ujarnya.
Fong turut menyeru masyarakat khususnya golongan muda agar terus menyokong pelancongan domestik dan menghargai keunikan Sarawak yang memiliki pelbagai destinasi bertaraf antarabangsa seperti Taman Negara Gunung Mulu, Gua Niah, Tanah Tinggi Bario, Empangan Hidroelektrik Bakun, rumah panjang serta kawasan warisan di bandar-bandar utama.
Fong juga menggalakkan lebih ramai belia menyertai Pergerakan Pemuda PDP, yang disifatkan sebagai wadah untuk melatih kepimpinan, meningkatkan kefahaman terhadap dasar awam serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti.
Beliau berharap program Makan Malam Belia Dinamik: Malam Penerbangan menjadi pemangkin kepada penglibatan belia yang lebih aktif dalam agenda pembangunan nasional selain mengeratkan hubungan silaturahim sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang..



