Belia era digital harapan negara

DUNIA kini sedang menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 dan teknologi digital nampaknya semakin hari semakin berkembang.

Malah penggunaan digital menjadi satu keperluan bukan lagi kehendak atau lambang status kekayaan seseorang atau masyarakat.

Sebagai contoh, e-dompet dijadikan salah satu medium utama sebagai transaksi urusan jual beli.

Kita juga dapat menyaksikan perkembangan teknologi realiti maya dalam pelbagai industri terutama pelancongan.

Kerajaan juga sedar negara kita tidak dapat ketinggalan dalam Revolusi Industri 4.0 yang dilihat menjadi penggerak utama ekonomi di seluruh dunia.

Oleh itu, pelbagai prasarana seperti teknologi 5G dibangunkan di negara ini untuk menggerakkan industri digital.

Kita juga sedar wabak Covid-19 juga menjadi salah satu penyebab utama pelbagai industri kini beralih kepada teknologi digital.

Ini bermakna kita tidak dapat melarikan diri daripada teknologi, terutama golongan usahawan.

Mereka perlu menguasai teknologi untuk memperluas pasaran. Ini kerana hanya dengan memanfaat teknologi mereka boleh pergi lebih jauh.

Oleh itu, usahawan hari ini perlu meneroka dunia digital, dengan sebaik mungkin.

Ini kerana mereka yang gagal menguasainya pasti akan ketinggalan.

Peranan Belia Sementara itu, golongan belia dilihat memainkan peranan penting untuk menggerakkan industri digital di negara ini.

Ini kerana mereka sudah terdedah dengan Internet dan pelbagai teknologi yang canggih sejak kecil lagi.

Oleh itu, pihak kerajaan perlu memainkan peranan untuk membangunkan golongan belia di negara ini.

Kita juga melihat golongan belia berjaya membangunkan perniagaan mereka melalui e-dagang dan e-hailing.

Apa yang diperlukan sekarang ini adalah peluang dan ruang untuk mereka bergerak.

Misalnya bantuan dalam bentuk kewangan atau peluang niaga.

Pada masa yang sama golongan belia itu sendiri perlu bijak mengintai peluang mahupun mencipta peluang.

Usah terlalu mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Dengan ilmu yang ada dan peluang yang terbuka luas di luar sana, ia wajar dimanfaatkan.

Selain itu, ekonomi gig seperti Food Panda dan Grab Food dilihat sangat dekat dengan golongan belia.

Tidak menghairankan pelbagai inisiatif dan program untuk membangunkan belia dalam industri digital.

Industri Kreatif Revolusi Industri 4.0 bukan sahaja berkaitan dengan digital semata-mata tetapi pembangunan industri kreatif.

Industri kreatif dilihat sebagai keperluan utama kerana permintaan untuk hiburan dan keseronokan sangat tinggi.

Buktinya, jumlah tontonan di YouTube dan Netflix dikatakan mencecah bilion penonton setiap hari.

Industri kreatif sangat dekat kepada belia dalam industri digital kerana ia dilihat permintaan yang sangat tinggi.

Lagipun, e-sukan dan permainan video streaming menjadi kegilaan golongan belia yang seharusnya dimanfaat sepenuhnya.

Sokongan kerajaan mahupun swasta amat penting untuk memperluaskan lagi industri kreatif di negara kita.

E-Sukan misalnya, ia semakin diminati, bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Ia bukan permainan untuk hiburan semata-mata, tetapi mampu dijadikan kerjaya sepenuh masa kerana ia boleh memberi pulangan lumayan.

Oleh itu, Kerajaan Negeri boleh membantu dalam bentuk sumbangan kewangan bagi penganjuran pertandingan di pelbagai peringkat usia.

Ia penting bagi menggalakkan lagi perkembangan sukan ini.

Malah kini e-sukan telah diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa, sebagai salah satu acara sukan yang cukup menarik.

Kerja Dari Rumah

Industri digital juga memudahkan segala urusan pekerjaan dapat dilakukan dari rumah tanpa perlu ke pejabat.

Ini kerana kemudahan Internet yang disediakan sangat mudah dan mampu menampung memori data yang besar.

Oleh itu, kerja dari rumah menjadi trend yang sangat dekat di hati golongan belia kerana ia memudahkan.

Lagipun, kita juga dapat mempercepatkan urusan kerja tanpa perlu menunggu lama.

Masa bekerja juga menjadi lebih fleksibel dan kita dapat memfokuskan masa berkualiti bersama-sama keluarga.

Revolusi Industri 4.0 dan golongan belia merupakan perkara yang seharusnya diambil perhatian sepenuhnya kerana kedua-duanya dapat membangunkan ekonomi negara ke arah lebih makmur.

Dalam keadaan ekonomi negara mahu bangkit semula ekoran ancaman wabak Covid19 sejak Mac lalu, para belia kita harus mengorak langkah mulai sekarang, menyiapkan diri sebanyak mungkin, terutama dari segi teknologi kerana persaingan semakin sengit.

Covid-19 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita memperlahankan rentak, sebaliknya ia perlu dijadikan cabaran dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0.

Malah Covid-19 wajar dilihat sebagai ‘hikmah’ kerana ia mendorong kita untuk menguasai dunia teknologi, bahawa kita boleh bergerak tanpa keluar rumah, kerana melalui teknologi kita sebenarnya boleh bergerak ke serata dunia dengan hanya duduk di rumah.

Suara Sarawak