ARTIKEL

Belia “orang penting” dalam pembuatan dasar kerjaan – Hanna Yeoh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Belia di Malaysia kini lebih berani melibatkan diri dan menjadi “orang penting” dalam pembuatan dasar kerajaan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan menyedari ciri-ciri belia kini telah berubah seiring dengan kepesatan teknologi, perubahan ekonomi, sosial dan politik yang mencabar kemampuan mereka.

“Belia juga kini lebih berani, mereka mahu terlibat dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada sesebuah permasalahan,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 di sini hari ini.

Menurut Hannah, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan populasi belia Malaysia berumur antara 15 hingga 30 tahun pada 2022 adalah sebanyak 9.6 juta orang iaitu hampir 30 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

“Kualiti dan kesejahteraan hidup belia perlu menjadi keutamaan kerana golongan belia yang seramai hampir 30 peratus ini merupakan pemimpin negara pada masa kini yang menentukan hala tuju dan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata beberapa sesi konsultasi diadakan bersama pihak berkepentingan termasuk golongan belia melalui sesi town hall atau dialog awam bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) serta sesi konsultasi Belanjawan 2024 bagi mendengar cabaran serta cadangan anak muda.

Sementara itu, Hannah berkata inisiatif Rakan Muda yang diberi nafas baharu dengan 10 gaya hidup pada Jun lepas kini mempunyai 1,074,934 ahli dengan 3,888 program telah dilaksanakan.

Program Rakan Muda dilancarkan semula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Jun lepas melibatkan Rakan Demokrasi, Rakan Litar, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

“Saya mahu seramai mungkin belia memperoleh manfaat daripada program ini (Rakan Muda) khususnya dalam memperkasakan potensi dan bakat masing-masing, meningkatkan kemahiran dan memperluas rangkaian,” katanya.

Dalam sidang media kemudian, Hannah berkata peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2024 untuk mengadakan Rakan Muda akan diagihkan kepada setiap negeri. 

— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU