PENYANYI dan pelakon Bella Astillah tampil menjelaskan dakwaan wujudnya perselisihan faham antara dirinya dengan seorang kakitangan jenama yang diwakilinya.
Menurut Bella, tuduhan yang tular di media sosial itu tidak berasas dan hanya tercetus akibat tindakan segelintir orang ramai yang membuat andaian tanpa usul periksa.
Dalam satu hantaran di Instagram pada malam Khamis lalu, Bella memaklumkan isu berkenaan sudah diselesaikan dengan baik.
“Alhamdulillah, semuanya dapat kami selesaikan bersama.
Sebenarnya tiada apa-apa yang tidak baik seperti yang digembargemburkan,” katanya.
Jelas Bella, kekeliruan timbul selepas beberapa individu membuat panggilan yang tidak sepatutnya kepada Ami, sebelum orang lain turut mengecam tanpa mengetahui cerita sebenar.
Hantaran itu turut memaparkan foto Bella bersama Ami serta Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq. Bella menegaskan bahawa tidak wujud isu orang ketiga seperti yang diperkatakan di media sosial.
Malah, individu yang dikaitkan itu sebenarnya sudah pun mempunyai pasangan.
“Tiada istilah sondol-menyondol. Dia pun bersama dengan #BASS dari awal dan dia bukan bujang,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Bella meminta orang ramai menghentikan kecaman terhadap seorang lagi individu, Kak Tasha, yang tidak mempunyai kaitan dengan kontroversi tersebut.
“Hal ini sudah melibatkan ahli keluarga dan ia tidak adil kerana mereka tidak mempunyai niat yang tidak baik.
Mari kita teruskan hidup dan bersikap baik sesama manusia,” katanya sambil menegaskan bahawa semuanya berada dalam keadaan baik. Terdahulu, media sosial kecoh dengan dakwaan bahawa hubungan Bella dan Syed Saddiq diganggu pihak ketiga.
Spekulasi itu tercetus selepas individu terbabit dikatakan rapat dengan mereka serta sering muncul dalam foto yang dimuat naik oleh ibu Syed Saddiq.



