KUCHING: Dataran Ibu Pertiwi sekali lagi menjadi saksi semangat patriotisme apabila Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi edisi Julai sempena sambutan Hari Sarawak disempurnakan dengan penuh tertib, pagi ini.
Majlis yang dianjurkan secara bulanan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu juga kali ini telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin sebagai usaha untuk menyemai semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.
Seperti edisi terdahulu, bendera Ibu Pertiwi bersaiz 25 meter panjang dan 12.4 meter lebar dinaikkan pada tiang setinggi 99.4 meter menjadi antara mercu tanda ikonik bandar raya Kuching.
Upacara dimulakan dengan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan DBKU, disusuli nyanyian lagu kebesaran negeri Sarawak, Ibu Pertiwiku, dan Persembahan Khas.
Menambah seri, acara itu turut menyaksikan persembahan khas bertemakan Hari Sarawak oleh kumpulan Tini Tyrani yang juga menggambarkan warisan budaya negeri yang kaya dan pelbagai.
Sejak dimulakan pada Julai 2024, upacara ini telah menjadi acara tetap bulanan yang diadakan pada hari Ahad pertama setiap bulan dan juga terbuka kepada orang ramai.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah menyempurnakan upacara pertama kali pada 28 Julai tahun lalu, membuktikan kepentingan simbolik acara ini dalam membentuk jati diri dan semangat kebangsaan rakyat Sarawak.
Untuk rekod, acara yang bertemakan Hari Sarawak kali ini juga menyaksikan DBKU bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi menyemarakkan lagi sambutan ini melalui upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi.








