KUCHING: Ahli politik tidak mempunyai kuasa meluluskan projek tanpa melalui proses perolehan jabatan kerajaan, namun sering dijadikan sasaran apabila timbul isu ketirisan dana awam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, tanggungjawab membanteras kebocoran dana awam itu terletak pada bahu penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam proses perolehan.
“Ahli politik tidak boleh meluluskan apa-apa projek tanpa proses perolehan. Jadi semua pihak tidak kira dalam kalangan penjawat awam, GLC dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam perolehan, mesti mengamalkan praktis yang terbaik.
“Praktis terbaik ialah berpegang pada kedaulatan undang-undang, ketelusan serta akauntabiliti bagi mengelak penyelewengan. Malah, semua asas terbaik dari negara-negara maju mesti dipraktikkan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Bengkel Serantau mengenai Integriti dalam Perolehan Awam: Kunci kepada Pertumbuhan Ekonomi’, bersama rakan penganjur Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), di sini, hari ini.

Katanya, Sarawak mempunyai pelbagai projek perolehan awam berskala besar, termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, pengambilalihan Affin Bank, penubuhan syarikat penerbangan negeri (AirBorneo), penganjuran Sukan SEA 2027, serta pembinaan pelbagai loji tenaga alternatif dan boleh diperbaharui.
Bagaimanapun katanya, semua pembangunan ini berisiko runtuh jika kita gagal memastikan kelestariannya melalui tadbir urus serta akauntabiliti yang mencukupi.
Juanda menjelaskan bahawa penganjuran bengkel tersebut sejajar aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan proses perolehan sebagai mekanisme penting dalam membanteras ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa.
“Pegawai yang terlibat secara langsung dalam perolehan merupakan nadi utama dalam memastikan wang awam dibelanjakan dengan betul.
“Jika berlaku ketirisan dan kerajaan tidak menerima nasihat yang tepat, usaha memerangi rasuah tidak akan berjaya,” tegasnya.
Beliau berkata program yang dijalankan itu turut disertai peserta dari Indonesia dan Filipina.



