Studio Nonakraf Creative dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak (MSS) menganjurkan bengkel bermain gambus secara percuma pada 11 dan 12 November ini.
Menurut Fasilitator bengkel, Dr Kamil Salem, bengkel yang dibimbing oleh Fauziah Suhaili atau Fauziah Gambus ini diadakan di Studio Nonakraf Creative, Matang Kuching bermula 8.30 pagi.
“Fauziah merupakan satusatunya pemain gambus wanita yang terkenal di Malaysia dan Indonesia dengan jumlah pengikut yang ramai,” ujarnya.
Sementara itu, katanya objektif dan matlamat bengkel adalah untuk memberi peluang kepada peserta tentang muzik gambus serta memahami teknik asas memainkannya.
“Ia juga memberi pendedahan kepada golongan sasaran tentang keunikan seni irama muzik gambus agar kekal menjadi khazanah bangsa,” ujarnya.
Malah, tambah Dr Kamil, bengkel ini juga bertujuan mencungkil bakat para peserta dalam bidang seni permainan gambus.
“Untuk pengetahuan, Fauziah, saya dan pemain akordian ternama dari Indonesia (Butong Olala) yang sering kali berkolabrasi di YouTube.
“Terkini, kami menjayakan pembikinan video kolaborasi dengan membawa lagu Berkikis bulu betis menggunakan gambus,” jelasnya.
Tambahnya, untuk bengkel itu nanti beberapa gambus disediakan dan peserta digalak membawa gambus sendiri.
Menariknya, penyertaan ini percuma dan terbuka kepada semua.



