ARTIKEL

Yasmin Hamizah Drahman berkongsi maklumat bengkel kepada wartawan Suara Sarawak.

Bengkel jahitan simo tarik perhatian pelbagai lapisan umur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jahitan simo yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan dalam busana Melayu kini kembali bersinar menerusi bengkel anjuran Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Commercial dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Wakil CENTEXS Commercial, Yasmin Hamizah Drahman berkata, bengkel jahitan simo percuma yang diadakan semalam merupakan sebahagian daripada program di bawah Temasya Warisan Pintar Kuching Lama (OKSHE), dan telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

Tenaga pengajar dari BeadStory membimbing peserta dalam sesi praktikal pembuatan rantai manik tradisional Bidayuh.

“Seramai 30 orang peserta telah mendaftar, dan dalam masa dua jam pertama, jumlah penyertaan melebihi sasaran.

Malah selepas itu, kami masih menerima banyak panggilan daripada mereka yang berminat,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.

Tenaga pengajar dari BeadStory membimbing peserta dalam sesi praktikal pembuatan rantai manik tradisional Bidayuh.

Menurutnya, sesi pembelajaran dijalankan dari jam 8 pagi hingga 5 petang, dan turut menarik minat pelbagai peringkat usia.

“Malah, ada peserta yang membawa hasil jahitan simo mereka yang telah siap, dan seorang daripadanya pernah mempelajari jahitan simo pada tahun 1980-an dan turut menunjukkan hasil kerjanya kepada peserta lain.

Para peserta tekun mendalami seni pembuatan manik dalam Bengkel Warisan Seni Kraftangan Manik anjuran CENTEXS Commercial.

“Ramai juga yang berkongsi bahawa mereka pernah mencuba menjahit simo sewaktu kecil dahulu, tetapi sudah lama tidak melakukannya,” jelasnya.

Justeru, katanya, pemilihan jahitan simo sebagai bengkel utama bertujuan mengangkat semula seni warisan yang semakin dilupakan, terutamanya dalam kalangan masyarakat di Kuching.

Esmanani Jawari bergambar bersama hasil kerja keringkam indah pelajarnya.

“Jahitan simo bukan sekadar satu jenis, malah terdapat pelbagai corak seperti bunga tulip dan kerang, namun, dalam bengkel ini kami fokus kepada jahitan asas terlebih dahulu sebelum peserta didedahkan kepada corak yang lebih kompleks,” tambahnya.

Selain bengkel jahitan simo, bengkel pembuatan rantai manik percuma turut diadakan hari ini dan menerima sambutan menggalakkan daripada para peserta, di samping demonstrasi tenunan songket dan keringkam oleh pelajar CENTEXS menjadi tarikan utama dalam program tersebut.

Antara hasil rantai manik tradisional Bidayuh yang dihasilkan dalam bengkel.

“Pendekatan ini penting untuk menarik minat golongan muda agar mereka dapat mempelajari dan memahami teknik pembuatan bunga keringkam serta menghargai nilai seni warisan ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan DBKU, Shareena Mohd Salleh berkata pihaknya berharap bengkel seperti ini dapat diteruskan dan diperluas penyertaannya pada masa akan datang.

Dari kiri: Shareena Mohd Salleh, Yasmin Hamizah Drahman dan tenaga pengajar dari BeadStory bergambar kenangan selepas bengkel.

“Kami juga telah membuat tinjauan terhadap peserta, dan ramai yang memohon agar bengkel ini diadakan semula dalam bentuk kesinambungan, mungkin versi 2.0.

“Kami berharap lebih ramai generasi muda akan terlibat, kerana kini peserta terdiri daripada pelbagai lapisan umur, namun golongan muda masih belum mencukupi,” tambahnya.

Dalam pada itu, tenaga pengajar bidang Teknologi Fesyen, Jahitan dan Rekaan Fesyen di CENTEXS Santubong, Esmanani Jawari berkata demonstrasi keringkam turut menarik perhatian pelancong yang hadir, sekali gus memberi peluang kepada pihaknya untuk memperkenalkan dan mempromosikan kursus-kursus ditawarkan di institusi tersebut.

“Sebagai contoh, keringkam yang turut ditawarkan di CENTEXS merupakan satu bidang yang menarik untuk dipelajari kerana setiap motif bunga adalah unik dan memerlukan pendekatan yang berbeza.

“Walaupun asasnya boleh dikuasai dalam tempoh sekitar 10 hari, proses pembelajaran sebenarnya berterusan,” katanya.

Menurutnya, bagi tenaga pengajar, proses penghasilan keringkam mungkin lebih mudah, namun bagi pelajar, kemahiran tersebut memerlukan masa dan latihan.

“Jika pelajar mempunyai kemahiran asas yang baik, mereka mampu menyiapkan satu hasil kerja dalam tempoh sebulan hingga dua bulan.

Contohnya, pelajar yang memulakan kelas pada Februari sudah berjaya menyiapkan projek mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, CENTEXS Santubong menawarkan pelbagai kemahiran termasuk tenunan songket, jahitan, serta rekaan fesyen secara menyeluruh.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU