MASIH ingatkah anda dengan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang pertama kali dilaksanakan pada Februari 2004?
Ia bertujuan membentuk belia unggul, berdisiplin, mempunyai keyakinan diri tinggi dan mengukuhkan semangat patriotisme.
Ketika itu, PLKN merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan atau 90 hari bagi pelajarpelajar yang terpilih dari seluruh negara yang sudah menamatkan pendidikan sekolah menengah atau berumur 17 tahun ke atas.
Sewaktu mula diperkenalkan, banyak pihak terutama ibu bapa bersikap skeptikal dan menentang atas pelbagai alasan.
Namun, selepas dilaksanakan, persepsi masyarakat berubah dan ia disifatkan pendekatan terbaik dalam memupuk semangat cinta akan negara.
Program itu berbeza daripada latihan kerahan tenaga yang dilaksanakan di beberapa negara lain, sebaliknya menggunakan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya dan ekonomi.
Ia menyediakan modul latihan meliputi fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun, manakala purata perbelanjaan sebanyak RM600 juta setahun.
Sepanjang dianjurkan, program yang berjaya melibatkan sejumlah 885,956 belia itu berjaya membawa impak positif dan meninggalkan seribu satu kenangan buat pesertanya, tidak kurang ada yang bertemu jodoh di kem latihan masing-masing.
Malah, menerusi kajian keberkesanannya ke atas 61,950 bekas pelatih, ibu bapa, majikan dan masyarakat umum pada 2010 mendapati, program itu berjaya membentuk disipllin diri remaja serta memupuk semangat kesetiaan dan cinta akan negara dengan pencapaian 83.86 peratus.
Bagaimanapun, ia dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan dan diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 orang setahun sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada Ogos 2018.
Selepas lima tahun, program tersebut dihidupkan semula dengan suntikan elemen baharu.
PLKN 3.0 itu akan dilaksanakan dalam dua fasa menggunakan kaedah baharu iaitu latihan selama 45 hari di 13 kem tentera wataniah seluruh negara.
Fasa satu membabitkan pelajar tingkatan empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan.
Sementara pelajar tingkatan lima yang dikecualikan dalam fasa satu bagi memberi laluan menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menyertai fasa dua di kem latihan tentera wataniah selepas peperiksaan.
Sebanyak 90 peratus kandungan latihan adalah berkaitan ketenteraan, baki 10 peratus berkaitan tatanegara.
Lebih menarik, tenaga pelatih membabitkan anggota tentera sendiri yang diyakini bakal membawa impak positif dalam membina jati diri belia kuat dan bertenaga.
Pelaksanaan semula PLKN itu sememangnya dilihat penting dan tepat pada masa terutama bagi menangani isu gejala remaja gajet.
Seperti kita dapat lihat, pelajar hari ini begitu ketagih menggunakan gajet, melayan media sosial serta kemaruk bermain permainan dalam talian.
Pengaruh kemajuan teknologi ini semakin menguasai kehidupan remaja dan pelajar sehingga menjadikan mereka seperti hilang arah untuk menjalani kehidupan sesuai dengan usia mereka sehingga seperti tiada kemahiran sosial, tidak aktif dan kurang sopan.
Bagaimana pula dengan laporan sebuah media nasional bahasa Inggeris yang menyatakan Kementerian Pertahanan menyasarkan golongan muda berusia 16 sehingga 35 tahun?
Sebenarnya ia telah termaktub dalam Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang menyatakan bahawa kumpulan umur peserta PLKN adalah antara 16 hingga 35 tahun.
Pendedahan itu membuatkan rakyat seluruh negara tidak senang duduk kerana khuatir tersenarai disebabkan faktor usia, kudrat tenaga serta bimbangkan komitmen kerja, keluarga dan anak-anak yang terpaksa ditinggalkan.
Persoalan jika latihan ini akan menjejaskan kerjaya, ia telah dinyatakan di bawah akta itu bahawa jika pekerja dipilih dan perlu menangguhkan kerja untuk tempoh maksimum selama 30 hari.
Maka majikan perlu memberikan mereka cuti untuk melengkapkan latihan dan tidak boleh memotong sebarang amaun gaji, pampasan lain, cuti tahunan atau memberi penalti.
Namun demikian, jangan bimbang kerana PLKN 3.0 ini hanya melibatkan remaja yang lahir pada tahun 2007 dan ke atas, iaitu pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran.
Bermakna PLKN yang bermula tahun depan hanya untuk remaja lahir pada tahun 2007.
Apa-apa pun, diharap modul baharu ini dilaksanakan sebaik mungkin serta mewajibkan penyertaan semua pelajar dan lepasan SPM, bukan memilih secara rawak seperti sebelum ini.
Bukan hanya untuk memupuk semangat jati diri dan patriotik, tetapi menjadikan pesertanya warga berdaya tahan, berdisiplin, kalis cabaran, berintegriti, benci rasuah, tidak ekstrem dan memiliki jiwa Malaysia.



