ARTIKEL

ANDING

Bentuk pemikiran matang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Individu yang gemar membaca biasanya mempunyai gaya pemikiran yang lebih matang dan terbuka. Mereka juga lebih mudah menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi sosial.

Demikian kata pelakon dan penyanyi kelahiran Sarawak, Anding atau Anding Indrawani Zaini, 43, yang mengakui ilmu yang diperoleh melalui pembacaan banyak mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi dan berinteraksi.

“Ia membudayakan kita dan memberi kelebihan dari segi kemahiran sosial yang unik. Arwah bapa saya orang sastera, jadi budaya membaca itu memang sudah dipupuk sejak kecil lagi.

“Suasana di rumah ketika itu dipenuhi dengan buku sehingga wujud sebuah perpustakaan mini yang menjadi ruang untuknya meneroka dunia ilmu,” kongsinya kepada Suara Sarawak.

Katanya, amalan membaca bukan sekadar hobi, malah memberi kesan besar terhadap perkembangan kognitif seseorang. Ia membantu meningkatkan pemahaman serta memperkukuh teknik penghafalan yang amat penting dalam kerjaya lakonan.

“Secara kognitif, membaca banyak membantu dalam pemahaman dan teknik penghafalan yang diperlukan sebagai pelakon,” katanya.

Dalam kesibukan jadual harian, beliau tetap berusaha mencari ruang untuk membaca. Masa terluang seperti ketika dalam penerbangan atau menunggu giliran di set penggambaran dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kalau ada masa terluang, saya akan curi-curi masa untuk membaca, contohnya ketika dalam perjalanan atau menunggu babak di set,” katanya.

Bagi Anding, amalan membaca tidak terhad kepada golongan artis sahaja. Beliau percaya semua orang perlu membudayakan amalan ini kerana ia memberi kesan besar terhadap cara seseorang berfikir.

“Tidak semestinya artis, tetapi kita semua perlu membaca kerana ia membezakan gaya pemikiran antara mereka yang membaca dengan yang kurang membaca,” ujarnya.

Walaupun kini beliau tidak membaca secara konsisten seperti dahulu, Anding masih mengekalkan amalan tersebut dalam bentuk yang lebih ringan, antaranya artikel pendek, majalah serta bahan bacaan santai.

“Saya masih membaca, tetapi lebih kepada artikel pendek, majalah atau bahan yang lebih ringan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga gemar membaca cerpen dan cerita pendek kerana lebih mudah difahami serta padat dengan isi.

“Cerita pendek lebih menarik minat saya sekarang kerana ia padat dan terus kepada isi utama,” jelasnya.

Menurut Anding, budaya membaca bukan sahaja memperkaya ilmu, malah membentuk keperibadian seseorang.

“Pembacaan membantu saya menjadi lebih kreatif, memahami struktur penulisan dan membuka minda,” ujarnya.

BERITA LAIN

JEP SEPAHTU bayar zakat RM1.93 juta

JEP SEPAHTU sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi 16 resit pembayaran zakat bagi tempoh 2016 hingga 2025 yang menunjukkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.93 juta. Perkongsian

BERITA TERBARU