SIAPA SANGKA keputusan berhenti kerja di sebuah syarikat industri minyak dan gas (O&G), kemudian memulakan perniagaan membuahkan hasil.
Ini dilakukan oleh Zen atau nama sebenarnya Zen Arnie, 37, yang berani membuat pilihan tersebut kerana minat dalam bidang automotif.
Kini, perusahaan bengkel mengecat kereta miliknya berkembang maju selepas tujuh tahun mengusahakannya sejak 2017.
“Saya selalu mengikuti pelbagai pertandingan pameran kereta.
Saya terpegun melihat pelbagai jenis kereta yang diubah suai.
“Saya terpegun melihat kemampuan mereka mengubah suai kereta daripada rupa standard menjadi luar biasa,” katanya kepada Suara Sarawak.
Kata Zen, kemudian muncul rasa ingin tahu dan keinginan untuk mempelajari kemahiran baharu iaitu mengecat kereta.
Zen bermula dengan belajar mengecat bahagian kereta selepas beberapa kali mempelajarinya daripada YouTube.
“Saya membuat pemantauan ke atas hasil kerja sendiri serta meminta pendapat rakan.
“Berkat usaha serta kerja keras, ia membuahkan hasil apabila saya berjaya menarik minat pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan ini,” ujarnya.
Dedahnya, ia menimbulkan keyakinan untuk memulakan perniagaan bermodalkan gaji terakhir sekitar RM10,000.
Ditanya adakah dia pernah berfi kir tentang risiko, lelaki berbangsa Kayan ini memaklumkan, dia menetapkan pendirian serta nekad untuk meneruskan perniagaan.
“Saya betul-betul nekad. Pernah juga terfi kir rugi, tetapi saya tetap positif dengan mengatakan; sebagai peniaga memang tidak pernah lari daripada kerugian.
“Saya bersyukur kerana lebih kurang tujuh tahun, perniagaan saya semakin berkembang sehingga mampu menggaji beberapa pekerja.
“Saya bangga kerana berkat usaha yang tidak pernah putus, saya dapat berkongsi rezeki serta kebahagiaan bersamasama ahli keluarga,” ujarnya.
MEDIA SOSIAL
Di sebalik kejayaannya, dia berterima kasih serta bersyukur dengan kemunculan teknologi baharu bagi mengembangkan perniagaan.
Ujarnya, kemudahan teknologi seperti telefon pintar memudahkan urusannya untuk berhubung dengan pelanggan.
“Saya tidak dapat bayangkan keadaan perniagaan ini tanpa media sosial.
“Melalui Facebook, saya membuka laman khas untuk perniagaan bagi memudahkan pelanggan dan promosi,” katanya.
Bagaimanapun, Zen mengakui setiap perniagaan pasti ada jatuh dan bangun.
Begitu juga dengan perniagaan yang diusahakannya.
“Ketika pandemik COVID-19 melanda, premis tidak dibenarkan untuk dibuka bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Perniagaan ini satu-satunya punca pendapatan saya untuk menyara keluarga.
“Namun, saya tidak berputus asa. Saya tetap menerima tempahan pelanggan dan dilakukan di rumah tanpa bantuan pekerja,” katanya.
PENGHARGAAN
Bercerita pengalaman manis, Zen berkata, tiada yang lebih manis selain mendapat pujian daripada pelanggan setelah melihat hasil kerja yang memuaskan.
“Ibarat satu penghargaan bagi saya,” tanbahnya.
Justeru, Zen memaklumkan, dia tidak pernah berhenti atau mencuba untuk keluar daripada bidang automotif, sebaliknya sentiasa mempelajari perkara baharu bagi meningkatkan kemahirannya.
“Saya kini belajar pelbagai ilmu perniagaan berkaitan pengubahsuaian serta penyelenggaraan kenderaan.
“Kalau boleh saya mahu pelbagaikan perkhidmatan di bengkel ini,” tambahnya.
Jelasnya, setiap orang perlu bermula menggunakan apa-apa yang dimiliki selain perlu merangka impian.
“Jangan melengahlengahkan masa. Lakukan apa-apa yang kita minat, kejar impian dan jangan pernah putus asa, ia kunci utama kejayaan,” tegasnya.
Orang ramai di sekitar Miri yang ingin mencuba perkhidmatan di Zen Garage, boleh hubungi Zen di talian 013-8406842 atau terus ke Facebook Zen Garage Miri.



