ARTIKEL

ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap ketika membahaskan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada persidangan DUN Sarawak. FOTO: UKAS

Beras Sarawak perlu diperkasa sebagai produk premium yang berpotensi tembusi pasaran antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jenama beras Sarawak perlu dibangunkan sebagai produk premium yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa dan bukan sekadar tertumpu kepada peningkatan pengeluaran beras semata-mata, kata ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap.

Menurutnya, produk tersebut mampu menjadi eksport bernilai tinggi serta tarikan agropelancongan jika dipasarkan dengan baik memandangkan Sarawak memiliki kelainan padi yang unik dengan nilai budaya tersendiri.

“Saya sarankan agar Lembaga Padi dan Beras Sarawak menubuhkan satu unit khusus bagi pemeliharaan varieti padi, penyelidikan dan penjenamaan serta pengkomersialan hiliran.

“Inisiatif ini menggabungkan pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan budaya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keterjaminan makanan perlu seiring dengan kemampuan rakyat mendapatkan makanan pada harga berpatutan kerana beras merupakan keperluan asas dan bukan barangan mewah.

“Jika peningkatan pengeluaran gagal menstabilkan harga untuk pengguna, maka objektif keterjaminan makanan tidak lengkap kerana rakyat di bandar sudah terbeban dengan inflasi, kos sewa rumah, perbelanjaan pengangkutan dan kos pendidikan.

“Maka, kejayaan lembaga ini bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah pengeluaran tan sehektar, tetapi juga sama ada rakyat biasa masih mampu membeli beras pada harga yang munasabah dan stabil,” katanya.

Tambahnya, lembaga tersebut juga perlu memastikan hasil yang nyata dan bukannya menjadi satu lagi lapisan birokrasi pentadbiran kerana Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 bilion bagi pembangunan infrastruktur dan sektor berkaitan.

“Ini merupakan pelaburan besar melibatkan wang daripada pembayar cukai, jadi mereka berhak mendapat jaminan bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur iaitu peningkatan pengeluaran, pengurangan kebergantungan import dan harga beras yang stabil untuk pengguna.

“Saya mencadangkan agar lembaga ini melaksanakan sistem pemantauan berasaskan prestasi yang telus dengan laporan diumumkan secara berkala kepada rakyat.

“Rakyat perlu mengetahui berapa banyak tanah yang berjaya diusahakan, sejauh manakah peningkatan pengeluaran tahunan dan sama ada pelaburan tersebut benar-benar mengurangkan risiko gangguan bekalan,” katanya.

Menurutnya lagi, sasaran mencapai tahap sara diri beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030 bukan sekadar sasaran pertanian, tetapi bagi memastikan rakyat Sarawak terus mampu menyediakan makanan di atas meja pada harga berpatutan.

Dalam perkembangan sama, Yap menambah bahawa peralihan ke arah pertanian pintar, mekanisasi dan pertanian moden perlu dilaksanakan bagi memperkasa petani tempatan tanpa meminggirkan mereka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU