Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

MUKAH: Prihatin dengan nasib rakan yang menderita penyakit kronik, seramai 40 orang sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Desa Kekan, tampil menghulurkan bantuan.

Penolong Pengurus AIM Wilayah Sarawak Tengah, Abdul Hafiz Soni berkata, keprihatinan sahabat berkenaan terserlah apabila sanggup mengumpul derma secara sukarela dan diserahkan kepada rakan mereka di Kampung Kekan, semalam.

Katanya, sikap mengkagumkan itu membuktikan semangat kerjasama padu dalam kalangan sahabat AIM.

“Tindakan spontan sahabat AIM Kampung Kekan ini mengumpul derma membantu rakan mereka menyentuh hati saya.

“Ini juga menunjukkan hubungan silaturahim dan persaudaraan dalam kalangan mereka cukup erat,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Hafiz menyerahkan sumbangan sahabat AIM kepada Imek Ilol, 50, sambil diperhatikan yang lain.

Mengulas lanjut Hafiz berkata, AIM melalui Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) juga akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.

Bantuan itu katanya, mengurangkan beban sahabat dan waris apabila menghadapi musibah di samping meningkatkan kebajikan mereka.

Melalui TKKS ujarnya, sahabat memperoleh pelbagai faedah antaranya, khairat kematian, sumbangan perubatan untuk masuk wad, penyakit kronik, skala manfaat kemusnahan rumah, kemusnahan projek, bencana besar dan lain-lain lagi.

“Kita menjadikan sahabat AIM Kekan Mukah sebagai salah satu contoh terbaik. Nilai murni seperti inilah yang kita ingin ketengahkan selain kegigihan mereka menjalankan perniagaan untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

“Sehubungan itu, kita akan terus mencari jalan mengadakan pelbagai program motivasi dan bimbangan terhadap sahabat-sahabat usahawan demi menjayakan ekonomi setempat.

“Justeru, dengan meningkatnya jumlah usahawan sahabat AIM di sesuatu kawasan, sekaligus berupaya mencorakkan persekitaran ekonomi masyarakat,” tambahnya.

Terdahulu AIM menganjurkan program Ziarah Perihatin Sahabat Pusat Desa Kekan , AIM Cawangan Mukah , Wilayah Sarawak Tengah.

Hadir sama Pengurus AIM Cawangan Mukah, Masri Hasbi, Penolong Pengurus Cawangan, Adris Boseman dan Penyelia AIM Blok Dalat, Muhd Yashrie Yahya.

Mengadakan perbincangan bersama sahabat AIM Kekan Mukah.