Berbasikal tengah malam untuk merompak

KUCHING: Kegiatan pecah rumah seorang lelaki yang berselindung dengan aktiviti berbasikal pada tengah malam akhirnya terbongkar apabila dia ditahan dan ditangkap pada waktu subuh oleh pasukan cegah jenayah Balai Polis Padungan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu ditangkap di Jalan Petanak sekitar jam 3.45 pagi hari ini.

“Pemeriksaan ke atas beg yang dibawa oleh suspek menjumpai pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah seperti pemotong dawai, pemutar skru, spanar boleh laras, spanar gabung, pemutar skru, lampu suluh dan juga pisau kecil.

“Malah suspek turut gagal memberikan keterangan munasabah berkenaan pemilikan sebenar basikal yang digunakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Basikal dan pelbagai peralatan pecah rumah yang dirampas daripada suspek.

Menjelas lanjut, beliau berkata suspek yang dibawa ke balai polis untuk soal-siasat kemudian mengaku pernah memecah masuk sebuah pejabat kelas tuisyen di Jalan Mendu pada Julai lepas.

Merbin berkata semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkait penyalahgunaan dadah.

“Saringan urin suspek mendapatinya positif dadah jenis Methampethamine.

“Suspek mengakui melakukan kegiatan pecah rumah dan curi untuk mencari wang mudah bagi membeli bekalan dadah,” katanya.

Merbin berkata perintah tahanan reman ke atas suspek diperolehi sehingga 7 Disember ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.