Beri kerjasama kepada pembanci

KUCHING: Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak (DOSM) seramai 8,024 pembanci dan 1229 penyelia akan ditugaskan dan diperlukan untuk bergerak di seluruh Sarawak pada 7 Julai ini sepanjang program Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dijalankan.

Maka dengan itu rakyat tempatan Sarawak yang berkelayakan adalah dipohon untuk membuat permohonan sebagai enumerator atau pembanci dan penyelia separuh masa untuk tempoh bancian tersebut.

Timbalan Pengarah DOSM Negeri Sarawak Dayang Rozana Abang Hassan menjelaskan, pihaknya akan memaklumkan iklan pengambilan untuk dua jawatan separuh masa tersebut menerusi laman sosial facebook MyCensus2020 di facebook.com/ mycensus2020 dalam masa yang akan dimaklumkan kemudian.

“Seramai 8,024 kekosongan akan kita buka untuk jawatan pembanci ini. Mereka akan bekerja selama tiga minggu dan mestilah berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia dan gaji ditawarkan ialah RM54 sehari.

“Manakala untuk jawatan penyelia pula seramai 1,229 kekosongan bakal dibuka. Gaji ditawarkan ialah RM72 untuk sehari bagi yang berkelayakan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia atau Diploma, dan mereka akan bekerja untuk tempoh sebulan melibatkan bancian ini,” jelasnya.

Mereka layak akan dipanggil untuk menjalankan temu duga, setelah terpilih akan melalui proses latihan seterusnya ditugaskan bekerja di lapangan.

“Kita juga mengharapkan agar rakyat tempatan dari kawasan mereka sendiri dapat momohon jawatan ini supaya dari segi kefahaman bahasa,lokaliti dan kebiasaan mereka dengan kawasan tersebut dapat memudahkan mereka menjalankan tugas bancian nanti.

“Apabila mereka bekerja nanti mereka akan disertakan dengan kad nama dan surat iringan atau surat kuasa yang disertakan dengan nombor telefon untuk dihubungi yang dapat mengesahkan mereka pembanci yang betul,” katanya.

Difahamkan untuk bancian kali ini terdapat lima kaedah bakal digunakan pembanci ini iaitu melalui e-Census iaitu responden perlu mengisi maklumat menerusi atas talian, kedua menerusi pembanci sendiri iaitu Computer Assisted Personal Interview (Capi) menerusi telefon pintar.

Seterusnya ialah melalui Computer Assisted Telephone Interview (Cati) yang mana pegawai tetap di DOSM Negeri akan menghubungi responden dan responden perlu menjawab semua soalan yang ditanya, Keempat ialah Paper Assisted Personal Interview (Papi) melalui kertas soal selidik dan kelima Drop Off and Pick Up (Dopu) yang mana pembanci pergi ke perumahan dan akan meninggalkan borang soal selidik tersebut untuk diisi, dan perjanjian akan dibuat menyatakan mereka akan datang kembali untuk tempoh seminggu untuk mengambil borang tersebut.

Suara Sarawak