KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) digesa memberi lebih banyak peluang kepada calon muda berwibawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 bagi memastikan kesinambungan kepemimpinan dan membawa idea baharu dalam pembangunan negeri.
Pemerhati dan penganalisis politik, Jaya Ramba berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diharap menggalakkan parti komponen GPS mempertimbangkan calon muda yang mempunyai kemampuan, integriti serta rekod khidmat masyarakat.
Pembaharuan barisan calon perlu mengimbangi pengalaman pemimpin sedia ada dan tenaga baharu bagi membentuk kepemimpinan yang mampu memenuhi keperluan rakyat.
“Pemilihan calon tidak seharusnya berasaskan usia atau populariti semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pemikiran strategik, kematangan membuat keputusan, disiplin serta kesungguhan memahami masalah masyarakat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Jaya, yang juga Pengerusi PDP Cawangan Piasau, berkata golongan muda lebih menguasai teknologi dan mudah menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, sekali gus berpotensi membawa pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat
Bagaimanapun, katanya, calon muda perlu mempunyai pengalaman berorganisasi, rekod khidmat masyarakat dan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat secara amanah.
Wakil rakyat yang berkesan perlu turun padang, mendengar keluhan penduduk, mengenal pasti masalah setempat serta memastikan setiap isu mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.
Jaya berkata, Sarawak memerlukan pemimpin yang memahami potensi ekonomi negeri, termasuk sektor ekonomi digital, tenaga, pelancongan, pertanian moden, pendidikan dan pembangunan infrastruktur, selain mampu merancang keperluan generasi akan datang.
Pada masa sama, keperluan penduduk luar bandar dan pedalaman, khususnya berkaitan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, capaian Internet serta kemudahan kesihatan, perlu terus diberikan perhatian.
Menurutnya, calon muda juga perlu mempunyai wawasan jelas dalam pembangunan modal insan, penyediaan peluang pekerjaan berkualiti dan pembentukan ekonomi mampan bagi membolehkan generasi muda membina kehidupan lebih sejahtera di Sarawak.
Justeru, beliau berharap GPS terus menilai calon berdasarkan integriti, prestasi, kemampuan dan penerimaan masyarakat, selain memberi peluang kepada generasi muda yang bersedia memikul amanah demi kepentingan rakyat dan masa depan Sarawak.




