KUCHING: Parti Demokratik Progresif (PDP) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, namun keputusan mengenai calon yang bakal bertanding terletak di tangan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Timbalan Presidennya, Datuk Henry Harry Jinep berkata, kesemua lapan wakil rakyat PDP yang mewakili GPS bersedia mendapatkan semula mandat rakyat sekiranya dicalonkan.
Beliau berkata, PRN akan datang memberi peluang kepada rakyat menilai prestasi wakil rakyat serta pencapaian kerajaan GPS sepanjang tempoh pentadbiran.
Pelbagai usaha pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan GPS boleh dijadikan pertimbangan oleh pengundi ketika menentukan pilihan mereka.
Henry berharap sokongan rakyat terhadap GPS dapat diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober ini bagi memberi laluan kepada PRN-13.
Pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
PDP kini mempunyai lapan kerusi DUN, iaitu Dudong yang disandang Datuk Seri Tiong King Sing; Tasik Biru (Datuk Henry Harry Jinep); Engkilili (Johnichal Rayong); Krian (Dato’ Friday Belik); Meluan (Dato’ Rolland Duat Jubin); Bawang Assan (Datuk Seri Wong Soon Koh); Marudi (Datuk Dr Penguang Manggil) dan Ba’kelalan (Baru Bian).




