MIRI: Sebanyak 37 sekolah di utara Sarawak menerima manfaat peruntukan RM1.08 juta daripada Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menambah baik kemudahan pembelajaran.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, bantuan itu bertujuan menaik taraf prasarana sekolah dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM155,038 diperuntukkan kepada Sekolah Menengah Bantuan St. Joseph Miri bagi membiayai kerja baik pulih dewan serta pembelian televisyen pintar, meja dan kerusi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan berkenaan bagi pihak Jabatan Premier Sarawak di Sekolah Menengah Bantuan St. Joseph Miri, di sini, hari ini.
Bantuan itu turut meliputi sekolah mubaligh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bantuan kerajaan serta sekolah menengah persendirian Cina di Sarawak.
Menurutnya, kemudahan pembelajaran yang lebih lengkap, termasuk televisyen pintar, dapat membantu guru menyampaikan pengajaran secara lebih berkesan dan meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata, usaha menaik taraf prasarana pendidikan itu turut menyokong pembangunan bakat generasi muda serta membuka peluang kepada pelajar untuk menikmati pendidikan yang lebih berkualiti.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah memanfaatkan bantuan berkenaan sepenuhnya bagi menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan menyokong perkembangan potensi pelajar.




