Beri perhatian kepada kaum minoriti Sarawak

Pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa Kementerian Pendidikan bakal menyediakan laluan khas kepada empat golongan memasuki universiti awam di negara ini ialah langkah yang tepat.

Golongan yang bakal mendapat manfaat daripada langkah tersebut ialah orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli, pelajar isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah B40) dan atlet negara.

Dengan langkah baharu itu, kumpulan terbabit tidak lagi perlu bersaing dengan calon kumpulan arus perdana yang jumlahnya bukan sedikit. Persaingan memasuki universiti awam di negara ini bukan mudah.

Persaingannya begitu sengit dan hanya yang memiliki prestasi cemerlang dalam peperiksaan berpeluang diterima.

Pada tahun lalu,  sejumlah 231,168 pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, dan Asasi menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan dan Kemahiran Awam (ILKA) di seluruh negara bagi sesi akademik 2018/2019.

Pelajar terbabit melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang sama ada bidang sains, sastera, sains gunaan, kemahiran mahupun teknikal.

Seramai 58,383 calon lepasan STPM dan setaraf telah memohon kemasukan ke UA dan daripada jumlah itu, seramai 24,089 calon memohon aliran sains dan 34,134 calon memohon aliran sastera.

Berdasarkan permohonan tersebut, sejumlah 23,362 calon (96.9 peratus) aliran sains yang berjaya dan diterima manakala 25,397 calon aliran sastera (74.4 peratus) diterima.

Bagi calon lepasan SPM, seramai 213,000 calon memohon dan daripada jumlah itu seramai 81,000 calon memilih aliran sains dan 72,000 calon berjaya diterima manakala bagi aliran sastera, sebanyak 129,000 calon memohon dan seramai 110,000 calon  berjaya.

Pendekatan baharu ini memungkinkan calon daripada empat kumpulan itu hanya bersaing sesama mereka sendiri, dan tidak lagi perlu bersaing secara terbuka. Laluan khas ini memberi peluang lebih baik kepada mereka untuk memenuhi impian masuk ke universiti.

Persoalannya, berapakah kuota yang bakal diperuntukkan kepada mereka ini? Adakah agihan dan wajarannya sama rata? Bagaimana pula kaum minoriti dari Sabah dan Sarawak? Harus diingat, seperti Orang Asli di Semenanjung, kaum bumiputera minoriti dari kedua-dua negeri terbabit juga berdepan cabaran besar. Mereka perlu diberi pertimbangan untuk memohon menggunakan saluran sama.

Hanya dengan ini kita akan dapat mendemokrasikan pendidikan, sekali gus memberi peluang kepada golongan minoriti ini untuk mengubah nasib mereka. Mobiliti menegak dan mobiliti mendatar dapat berlaku melalui pendidikan.

Kita tidak boleh membiarkan masyarakat minoriti seperti melukut di tepi gantang. Mereka tidak boleh selama-lamanya berada di pinggiran. Satu daripada langkah untuk membawa mereka ke dalam arus perdana adalah dengan memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Dengan itu, mereka akan dapat mengubah nasib dan kehidupan mereka. Mereka nanti akan kembali ke pangkuan masyarakat masing-masing untuk memberi sinar cahaya kepada masyarakat terbabit.