KUCHING: Cadangan untuk Kerajaan Sarawak beri subsidi pembelian komputer riba dan peranti elektronik dalam bentuk baucar untuk rakyat yang kurang berkemampuan disambut baik, dalam membantu mempercepatkan transformasi digital negeri ini.
Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, cadangan Persatuan ICT Sarawak (SICTA) untuk baucar itu boleh ditebus di mana-mana cawangan perniagaan yang bergabung dengan SICTA amat diterima baik.
“Sebagai balasan, SICTA boleh memberi komitmen untuk memudahkan latihan asas komputer, yang boleh menyumbang kepada matlamat transformasi ekonomi digital Kerajaan Sarawak.
“Kerjasama ini akan memberi peluang untuk meneroka dan menyumbang kemajuan digital dalam memodenkan serta meningkatkan kecekapan yang didorong oleh kesalinghubungan digital dan fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap pada majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-23 SICTA di di sini, malam tadi.
Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menekankan, ahli-ahli SICTA boleh memainkan peranannya secara aktif dan menjadi sebahagian daripada visi transformasi digital kerajaan negeri dengan hala tuju yang jelas khususnya membantu meningkatkan pengetahuan penggunaan komputer.
Jelasnya, inisiatif Sarawak itu dijangka menyumbang RM56.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 dan mewujudkan 45,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi.
Pada majlis itu, SICTA menerima geran berjumlah RM25,000 , masing- masing RM10,000 daripada Dr Sim dan Ahli Parlimen Stampin dan ADUN Padungan Chong Chieng Jen, manakala RM5,000 daripada Yap.



