BARU-BARU ini tular sebuah keluarga yang dilaporkan hampir 13 tahun tidak mendapat bekalan elektrik di Kampung Kuala Sat di Ulu Tembeling.
Kejadian itu tular apabila mereka berjaya menarik perhatian Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda melalui kawasan itu dalam satu konvoi kenderaan.
Aduan mereka berkaitan bekalan elektrik kemudian mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan apabila ADUN kawasan berkenaan memaklumkan isu itu sedang dalam proses penyelesaian dengan kerjasama TNB.
Ruangan komen di media sosial meriah dengan pelbagai hujahan, menyalahkan pelbagai pihak walaupun bukan penduduk Pahang.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak TNB menjelaskan, permohonan sudah diterima melalui kontraktor pada hujung Disember 2025 sebelum dikemukakan kepada pihak berkaitan pada Januari 2026 untuk kelulusan kerja-kerja penanaman tiang.
Syarikat utiliti itu berkata, pelaksanaan di lapangan tertakluk kepada kelulusan pelbagai pihak termasuk aspek keselamatan, teknikal, status tanah dan izin lalu.
Dalam situasi ini membenarkan kuasa viral sebagai penyelesaian masalah.
Namun, ia juga mendatangkan pelbagai reaksi dan tomahan kepada agensi terlibat.
Dalam era digital hari ini, sesuatu perkara tidak lagi memerlukan masa yang panjang untuk menjadi perhatian umum.
Hanya dengan satu video berdurasi beberapa saat, satu tangkap layar atau satu kenyataan yang dikongsi di media sosial, sesuatu isu boleh tersebar dengan pantas dan mendapat perhatian.
Muncullah istilah ‘rakyat sebagai semak dan imbang kerajaan’ dalam era digital.
TULAR
Budaya tular boleh menjadi medium yang berkesan menyampaikan maklumat penting, meningkatkan kesedaran sesuatu isu dan sebagainya.
Namun, budaya tular juga mempunyai sisi lain yang perlu diberikan perhatian. Dalam usaha mengejar perhatian dan jumlah tontonan, sensasi kadangkala mengatasi fakta.
Perkara ini memerlukan peranan editor sebagai penapis bahan masuk dan keluar di media sosial.
Saya tertarik dengan perkongsian Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman ketika ceramah masa depan bilik berita di pejabat Suara Sarawak, barubaru ini.
Katanya, “Dalam dunia media digital, jangan kita kalah kerana lambat, jangan musnah kerana salah”.
Dalam konteks ini, beliau menekankan dua elemen penting dalam media digital iaitu pantas dan tepat. Kedua-dua elemen tersebut harus bergerak seiring sebagai etika dalam penyampaian maklumat.
Walaupun masyarakat lebih mudah tertarik kepada kandungan yang bersifat mengejutkan, emosional atau kontroversi berbanding maklumat yang memerlukan penjelasan lebih mendalam.
Namun etika penyampaian maklumat inilah yang akan membezakan kita dengan ‘wartawan media sosial’.
Seterusnya, kuasa tular membolehkan pengguna media sosial bertindak sebagai penyebar maklumat tanpa proses semakan yang mencukupi.
Ada kalanya maklumat disebarkan tanpa konteks sebenar, kenyataan dipetik secara terpisah daripada maksud asal, atau gambar lama dikongsikan semula sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Dalam keadaan tertentu, individu, ahli politik atau organisasi boleh menerima kecaman besar sebelum fakta sebenar diketahui.
Peranan media dalam situasi ini menjadi semakin mencabar.
Secara umumnya, media mempunyai tanggungjawab sebagai penyampai maklumat yang melalui proses semakan fakta, pengesahan sumber dan penelitian editorial sebelum sesuatu berita diterbitkan. Namun, media digital sangat pantas.
Persaingan mendapatkan perhatian pembaca menyebabkan agensi media turut berdepan tekanan untuk menjadi yang pertama.
Kehadiran penulisan wartawan segera atau ‘wartawan nyamuk’ ini melaporkan sesuatu kejadian melalui platform media sosial tanpa terikat kepada organisasi media rasmi.
Mereka sering berada di lokasi atau kebetulan berada di lokasi kejadian, kemudian menyebarkan maklumat dengan cepat, malah kadangkala lebih pantas daripada media konvensional.
Tanpa latihan kewartawanan, etika dan semakan fakta, maklumat yang disebarkan berpotensi mengandungi unsur berat sebelah atau tidak lengkap.
Pembaca atau pengguna media sosial perlu mempunyai sikap lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menilai sesuatu isu yang tular.
Sebelum berkongsi sesuatu maklumat, beberapa perkara asas perlu diberikan perhatian.
Antaranya menyemak sumber maklumat, melihat tarikh kandungan, membandingkan laporan daripada pelbagai sumber dan tidak membuat penilaian hanya dengan tajuk berita.



