ARTIKEL

Berita tepat, dipercayai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM dunia kewartawanan, wartawan sering diingatkan dengan satu prinsip yang mudah tetapi sangat penting iaitu lebih baik lambat sedikit asalkan berita itu betul. 

Prinsip ini menjadi pegangan kerana kesilapan dalam laporan berita boleh memberi kesan besar kepada individu, organisasi, masyarakat, bangsa, agama dan negara. 

Namun, dalam dunia media sosial hari ini, prinsip itu semakin dicabar oleh satu tuntutan baharu iaitu siapa paling cepat, dialah yang akan mendapat perhatian.

Sebabnya, setiap hari, jutaan pengguna media sosial berlumba-lumba menjadi orang pertama menyebarkan maklumat. Malah, ramai juga yang ingin menjadi wartawan segera. 

Misalnya, sebaik sahaja berlaku kemalangan, kebakaran, banjir, pergaduhan atau kenyataan yang kontroversi, gambar dan video akan tersebar dalam tempoh beberapa minit sahaja. Sangat pantas.

Kadangkala, maklumat yang disebarkan lebih pantas daripada kehadiran pasukan penyelamat di lokasi kejadian. Dan, kadang-kadang, wartawan segera ini bertugas terlebih dahulu iaitu merakam gambar dan disebarkan di media sosial, sedangkan yang sepatutnya dia lakukan ialah memberikan bantuan awal.

Fenomena ini sudah mengubah landskap penyebaran maklumat. Sangat drastik. Jika dahulu, masyarakat menunggu laporan media arus perdana untuk mengetahui sesuatu kejadian, kini mereka mendapat maklumat secara terus daripada pengguna media sosial. Persoalannya, adakah semua maklumat yang diterima itu betul dan sahih?

Di sinilah bermulanya dilema antara berita pantas dengan berita yang tepat. Sebagai wartawan yang pernah melalui era sebelum Internet berkembang pesat, saya masih ingat bagaimana sesuatu berita perlu melalui beberapa proses semakan sebelum diterbitkan. 

Wartawan perlu mendapatkan pengesahan daripada sumber yang sah, menyemak fakta, mendapatkan komen daripada pihak berkaitan dan paling penting memastikan setiap maklumat mempunyai asas dan sumber yang kukuh.

Proses itu mungkin mengambil masa. Namun, ia perlu dilakukan untuk memastikan berita yang sampai kepada pembaca benar-benar boleh dipercayai. Jika berita tidak benar dicetak dan diterbitkan, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan lagi. Seperti kata seorang rakan, “Polah berita bagus-bagus. Jangan sampe sik nyaman tido malam!”

Hari ini, keadaan sudah berbeza. Tekanan untuk menjadi yang pertama amat tinggi. Portal berita bersaing sesama sendiri sementara pengguna media sosial pula sentiasa mahukan perkembangan terkini setiap minit. Kalau boleh setiap saat.

Dalam keadaan sedemikian, ada media yang terpaksa membuat keputusan pantas untuk menyiarkan sesuatu maklumat sebelum pesaing mendahului mereka. Akibatnya, risiko kesilapan menjadi semakin besar.

Bukan sedikit kes apabila berita kematian seseorang tersebar lebih awal sebelum disahkan keluarga. Ada juga kejadian lama yang dikitar semula seolah-olah baru sahaja berlaku. Lebih membimbangkan, gambar atau video yang dirakam di negara lain kadangkala digunakan bagi menggambarkan kejadian di tempat sendiri.

Apabila maklumat yang tidak tepat itu disebarkan, pembetulan yang dibuat kemudian sering gagal mencapai jumlah pembaca yang sama seperti berita asal. Sebabnya, orang ramai lebih mudah mengingati tentang maklumat pertama yang mereka terima walaupun ia terbukti salah. Inilah antara cabaran terbesar dunia kewartawanan hari ini.

Ramai yang beranggapan tugas wartawan hanya menulis berita. Hakikatnya, tanggungjawab sebenar wartawan ialah menapis, mengesahkan dan menyusun maklumat sebelum disampaikan kepada masyarakat. Dalam era limpahan maklumat ini, fungsi ini menjadi semakin penting.

Media sosial sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri. Ia membolehkan maklumat disebarkan dengan pantas, membantu orang ramai mendapatkan amaran awal ketika bencana dan memberi ruang kepada masyarakat berkongsi pengalaman secara langsung. Namun, media sosial tidak mempunyai sistem semakan fakta yang ketat seperti organisasi berita profesional.

Sesiapa sahaja boleh memuat naik sesuatu kandungan, namun tidak semua mempunyai latihan kewartawanan atau memahami implikasi penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Atas sebab itu, masyarakat perlu memahami perbezaan antara maklumat dengan berita. Semua berita ialah maklumat, tetapi tidak semua maklumat boleh dianggap sebagai berita yang sahih. Berita memerlukan pengesahan, konteks dan tanggungjawab.

Cabaran ini turut diperburukkan lagi oleh media sosial yang mengutamakan kandungan sensasi berbanding ketepatan fakta. Bagi mereka, tajuk yang mengejutkan, gambar yang mengundang emosi dan dakwaan yang kontroversi lebih mudah menarik perhatian pembaca.

Dalam keadaan tersebut, wartawan profesional berdepan pula tekanan yang besar. Hari ini, wartawan sebenar perlu menghasilkan berita yang pantas tanpa mengorbankan ketepatan. Mereka juga perlu bersaing dengan individu yang boleh menyiarkan apa-apa sahaja tanpa melalui proses semakan.

Di sini nilai sebenar kewartawanan diuji. Kredibiliti sesebuah media tidak dibina dalam sehari. Ia terbentuk melalui rekod laporan yang tepat, adil dan boleh dipercayai selama bertahun-tahun. Sekali kepercayaan pembaca hilang, amat sukar untuk mendapatkannya semula.

Oleh itu, dalam perlumbaan mendapatkan perhatian pengguna, media tidak boleh mengorbankan prinsip atau etika kewartawanan. Menjadi yang pertama memang penting, tetapi menjadi orang yang tepat dalam penulisan berita jauh lebih penting.

Masyarakat juga mempunyai peranan yang juga sama besar. Sebelum berkongsi sesuatu maklumat, semak sumbernya terlebih dahulu. Tanya sama ada berita itu datang daripada organisasi media yang dipercayai atau sekadar kiriman yang tidak diketahui sumbernya. 

Jadi, pembudayaan sikap berhati-hati akan mampu mengurangkan penyebaran maklumat palsu yang semakin berleluasa kini.

Teknologi akan terus berkembang dan cara masyarakat mendapatkan maklumat juga akan terus berubah. Namun, satu perkara tidak akan berubah iaitu kebenaran tetap menjadi asas kewartawanan yang berkualiti.

Dan, dalam dunia yang bergerak semakin pantas kini, mungkin kita perlu mengingati bahawa berita yang pantas tetapi salah boleh meninggalkan kesan yang berpanjangan.

Itulah bezanya antara menjadi yang terawal dan terpantas menerbitkan berita dengan menjadi wartawan dan organisasi media yang paling dipercayai.

BERITA LAIN

Impian besar Kupang Strike

SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat