Berniaga TAT KEJU untuk beli peralatan sekolah

KUCHING: Meskipun masih menuntut di tingkatan enam, Nurul Aina Hajis, 19, tidak gentar untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sebagai pendapatan sampingannya.
Dia yang mengusahakan perniagaan tat keju secara dalam talian menjelaskan, hasil pendapatan yang diperolehi digunakan untuk membeli peralatan sekolah dan juga keperluan lain.
“Saya memulakan perniagaan ini pada tahun lepas sejak tamatnya tingkatan lima.
“Keberanian untuk mencuba dalam perniagaan tat keju ini bermula daripada emak dan kakak saya sendiri, setelah mereka menjamu tat keju yang saya hasilkan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Menurut Nurul, dia telah mempelajari resepi yang berkaitan menerusi perkongsian dalam media sosial.

“Pada awalnya, saya tidak yakin dengan sambutan pelanggan terhadap tat keju yang saya hasilkan.
“Bagaimanapun, dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga dan kawan-kawan, saya tetap meneruskan perniagaan ini sehingga sekarang,” katanya lagi.
Nurul menambah, perniagaan yang hanya bermodalkan RM150 pada awalnya itu memberi keuntungan sebanyak RM50 hingga RM80 sehari.
“Setakat ini, saya tidak mempunyai sebarang cawangan, malah bergantung sepenuhnya terhadap perniagaan atas talian.
“Saya beroperasi mulai 9 pagi hingga 3 petang setiap hari bergantung dengan jadual sekolah.

“Saya melakukan penghanataran kepada pelanggan yang berdekatan setelah selesainya hari persekolahan,” jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi, Nurul mendedahkan, dia agak sukar untuknya mendapat tempahan dan turut memerlukan tapak niaga yang lebih strategik untuk meneruskan perniagaan tersebut.
Dia juga berkata, sepanjang wabak Covid-19 perniagaannya menurun akibat kekangan yang dihadapi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan itu tetap memberi keuntungan yang lumayan hingga mencecah RM400 sebulan.
“Saya berharap agar suatu hari nanti, perniagaan ini dapat berkembang sehingga ke kawasan lain di luar Miri.
“Rancangan saya adalah setelah tamatnya tingkatan enam ini ialah membuka kedai bakeri sendiri dengan bermodalkan pendapatan yang sedia ada,” katanya lagi.
Nurul yang merupakan pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Merbau Miri turut mendedahkan, dia hanya menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan WhatsApp untuk mempromosikan tat keju yang dihasilkannya untuk dijual kepada orang ramai di sekitar Miri.


Suara Sarawak