MENUNAIKAN ibadah puasa sepanjang Ramadan merupakan salah satu kewajiban bagi seluruh umat Islam di dunia. Berpuasa ialah menahan diri daripada makan, minum, di samping menghindarkan diri daripada melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa.
Ia turut menahan diri daripada perkara yang sia-sia, menimbulkan syahwat dan mengucapkan perkataan-perkataan yang dilarang, misalnya mengumpat, bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari dengan disertai niat pada malamnya.
Kepentingan puasa boleh diumpamakan sebagai benteng dan senjata menahan manusia daripada melakukan maksiat dan kemungkaran, selain membentuk jati diri dan disiplin dalam kalangan masyarakat Islam. Namun di sebalik rukun ketiga Islam itu, masih ada tidak sedar puasa juga membawa banyak manfaat kesihatan pada tubuh badan kita.
Secara umumnya, umat Islam berpuasa Ramadan 13 hingga 17 jam sehari tertakluk kepada negara yang didiaminya. Umat Islam di bandar Ushuaia, Argentina misalnya hanya berpuasa kira-kira 10 jam, 37 minit. Mereka bersahur sekitar pukul 7.08 pagi dan waktu berbuka pula pada pukul 5.43 petang. Namun, terdapat juga umat Islam yang berpuasa sehingga 16 jam di sesetengah negara Eropah.
Walaupun berlapar dan dahaga sepanjang hari, ia bukan alasan untuk individu Muslim meninggalkan tanggungjawab seharian untuk membina kehidupan. Justeru, kesihatan tubuh badan untuk melalui ibadah ini pada siang hari perlu mendapat perhatian.
Persediaan amat penting bagi memastikan setiap individu kekal sihat dan cergas di samping dapat memberi tumpuan kepada ibadah masing-masing. Sehubungan itu, peningkatan jumlah pesakit dilaporkan berlaku di negara membangun berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tidak dapat dinafikan, masyarakat hari ini sibuk membina kerjajaya, mencari wang untuk menambah pendapatan. Keadaan diburukkan lagi dengan kesibukan jadual tugas harian selain suasana yang tidak kondusif di tempat kerja. Pada masa yang sama, penyakit tiga serangkai, iaitu darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi dikenal pasti sebagai antara faktor yang mendorong kepada masalah jantung tanpa disedari.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari pada 2018 ialah 18,267 orang. Lebih membimbangkan apabila jumlah kematian akibat penyakit itu menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ia juga menjadi punca utama yang menyebabkan kematian mengejut.
Amalan hidup sihat selain bersenam secara konsisten merupakan amalan penting dalam kehidupan seharian setiap individu masyarakat. Selain itu, aspek penjagaan makanan juga tidak boleh diabaikan. Setiap individu juga disaran meluangkan masa untuk melakukan aktiviti senaman bagi menghilangkan tekanan selain menjaga penampilan diri di samping meningkatkan kecergasan mental dan fizikal.
Suatu ketika dahulu berpuasa menjadi sebahagian terapi dalam perubatan kuno apabila perlu dilakukan dalam keadaan tertentu bagi membolehkan proses penyembuhan lebih cepat. Pada masa yang sama, diet yang seimbang juga boleh memperbaiki kolesterol darah, mengurangkan keasidan perut dan masalah penghadaman lain yang mampu menyumbang kepada gaya hidup seseorang.
Berpuasa berupaya menurunkan berat badan melalui amalan pemakanan seimbang, mengurangkan gula dalam darah, kolestrol, tekanan darah, mengubah gaya hidup, merehatkan badan, menguatkan ingatan, membuang toksik dalam badan dan mengawal stres.
Kesimpulannya, berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi memberikan manfaat besar kepada manusia khususnya dari sudut fizikal, sosial dan kesihatan.