Bersama Ustaz Kazim Elias di Kabong pada 20 November ini

KABONG: Bersempena dengan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Abang Leman (SKAL) Kabong satu sesi ceramah agama akan diadakan bertempat di Town Square Kabong bermula jam 8. 30 malam pada 20 November (Rabu).

Ceramah yang dikelolakan oleh Alumni SKAL Kabong dengan kerjasama PIBG SKAL akan menampilkan penceramah tersohor, Datuk Ustaz Mohammad Kazim Bin Elias atau lebih mesra dipanggil Ustaz Kazim Elias.

Akan turut hadir bersama semasa ceramah tersebut ialah ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir, Pegawai Daerah Kabong Haji Rashdan Haji Hazemi dan tetamu jemputan khas yang lain.

Pengerusi Alumni SKAL Kabong, Haji Olen Haji Tabor memberitahu segala urusan untuk ceramah tersebut sudah diatur dan penceramah jemputan, Ustaz Kazim Elias juga sudah mengesahkan kehadiran beliau pada ceramah berkenaan.

” Sesi ceramah Ustaz Kazim akan dilangsungkan di Dewan Terbuka Town Square Kabong dan dijadual bermula jam 8. 30 malam.

“Ceramah akan berlangsung selama dua jam. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke sesi ceramah yang berkonsepkan majlis ilmu itu sebagai santapan rohani disamping berpeluang melihat secara dekat personaliti pendakwah dan penceramah terkenal Malaysia itu, ” ujarnya.

Ustaz Kazim Elias dilahirkan di Kampung Paya, Batu Kurau, daerah Selama, Perak pada 28 November 1972. Beliau merupakan anak ke-7 dari dari 9 adik-beradik kepada pasangan Elias Bin Che Mat dan Nazirah Binti Ismail iaitu seorang guru agama di sekolah di Batu Kurau. Bapanya juga seorang guru agama meninggal dunia ketika beliau berusia 8 bulan.

Sehubungan dengan itu orang ramai di sekitar Daerah Kabong dan kawasan lain sekitarnya dijemput hadir bagi sama-sama menghayati ceramah yang disampaikan kelak.